TVET Main Peranan Atasi Masalah Pengangguran Belia
KUANTAN, 22 Ogos 2024 – Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan belia, menurut Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Hajah Sabariah Saidan.
Jelas beliau, hal ini berikutan bidang tersebut dapat membekalkan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan oleh industri.
“Selain daripada (bidang) akademik kita sangat memerlukan (pelajar) kemahiran-kemahiran teknikal ini.
“Sekarang kalau kita lihat di Pahang ada pelbagai industri seperti ECRL (Laluan Rel Pantai Timur), pembinaan kilang-kilang baru di Gebeng yang memerlukan tenaga mahir sebagai tenaga kerja mereka.
“Projek infrastruktur ini pastinya memerlukan kepakaran graduan TVET kita, dan saya yakin mereka akan menyahut cabaran ini dengan cemerlang,” ujarnya dalam kenyataan sama selepas Majlis Perasmian Penutup Program Moh Festival Polycc 2024 di Teluk Cempedak baru-baru ini.
Beliau juga percaya bahawa melalui pelbagai aktiviti yang dirancang dalam program ini membolehkan mereka mempamerkan kebolehan, menolak sempadan kreativiti dan pengetahuan teknikal mereka.
“Ini merupakan satu platform terbaik untuk mengeratkan ikatan persefahaman dan jaringan antara komuniti POLYCC, komuniti setempat, pemain industri dan pelbagai agensi di bawah kerajaan,” katanya lagi.