Tutup Pejabat UNHCR, Terserah Kepada Malaysia: Wakil AS
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 16 Oktober 2022 – Keputusan untuk menutup pejabat Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di sini adalah terpulang kepada kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat tidak akan masuk campur, tegas Melissa Brown wakil bagi kerajaan Amerika Syarikat.
Melissa yang mengunjungi Malaysia bagi lawatan rasmi memuji Malaysia kerana menjadi tuan rumah kepada ramai pelarian dari pelbagai situasi dan kawasan krisis bagi memastikan mereka mendapat akses kepada pendidikan dan rawatan perubatan.
Berdasarkan laporan media, Mellisa yang juga Pakar Asia Tenggara dengan latar belakang dasar perdagangan berkata mengenai hubungan diplomatik AS-Malaysia selama 65 tahun, dari perspektif AS, kami mahu rapat dengan Malaysia, memperkukuhkan persahabatan dan kerjasama berdasarkan nilai demokrasi, menghormati hak asasi manusia dan menghormati kedaulatan undang-undang.
Menurutnya, kedua-dua AS dan Malaysia akan terus menjaga dan menguatkan lagi hubungan perdagangan serta pelaburan secara produktif dengan mengambil kira AS sebagai pelabur asing yang penting di Malaysia, terutamanya dalam sektor elektronik.
Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Datuk Rodzi Md Saad yang mencadangkan supaya pejabat UNHCR di Malaysia ditutup kerana ia dapat membolehkan Putrajaya menguruskan pelarian di negara ini dengan lebih baik tanpa “gangguan luar”.
Menteri luar Malaysia Datuk Seri Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, cadangan untuk menutup pejabat UNHCR di Malaysia tidak akan membawa kepada pemutusan hubungan dengan badan antarabangsa itu.