Turkiye Seru Pemimpin Dunia Ambil Tindakan Terhadap Penindas Islam
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PRAGUE, 18 Disember 2022 – Turkiye terus menerus menyeru pemimpin dunia untuk mengambil tindakan terhadap perbuatan menyebar kebencian kepada umat Islam, lapor portal antarabangsa.
Duta Turkiye ke Republik Czech, Egemen Bağış berkata, “Umat Islam, yang membentuk majoriti masyarakat pendatang di kebanyakan negara Eropah, kini menjadi sasaran utama pendekatan xenofobia dan Islamofobia.”
Tegasnya, trend sedemikian semakin meningkat dan perjuangan menentang xenofobia serta ucapan kebencian mengenai asal-usul etnik dan agama harus menjadi agenda utama mesyuarat antarabangsa bagi menghapuskan masalah dari pelbagai sudut.
Bağış turut mendedahkan jumlah sebenar serangan perkauman yang berlaku adalah lebih tinggi berbanding yang dinyatakan dalam dokumen rasmi kerana kebanyakan mangsa tidak melaporkan penganiayaan yang dialami sehari-hari.
“Amalan perkauman dan diskriminasi dalam pendidikan dan kehidupan sosial jelas menimbulkan kecenderungan masyarakat pendatang untuk menarik diri dan menghalang usaha integrasi,” ujarnya.
Cadang beliau, sebuah platform baharu perlu dibangunkan di mana mangsa boleh melaporkan sebarang insiden keganasan secara langsung seperti serangan anti-Muslim, ucapan kebencian dan xenofobia.
Berkata dalam sebuah persidangan yang diadakan di Czech Republic, beliau menekankan, Turkiye aktif menyokong usaha antarabangsa untuk meningkatkan kesedaran bagi mangsa yang terdedah kepada keganasan dan kelakuan tidak bertoleransi disebabkan agama dan pandangan mereka.
Walaupun negara-negara Barat tidak peduli akan sentimen anti-Muslim bahkan menyemarakkan lagi ideologi tersebut, Turkiye tetap menggesa institusinya mengambil tindakan terhadap isu berkaitan umat Islam di negara-negara berkenaan.