Tumpuan Angin Dijangka Berlaku Di Selatan Semenanjung, Barat Sarawak Bermula Hari Ini Ini
KUALA LUMPUR, 30 Disember 2023 – Penumpuan angin dijangka berlaku di selatan Semenanjung dan barat Sarawak bermula hari ini hingga 4 Januari depan, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
Dalam laporan yang dikeluarkan di Facebook, METMalaysia berkata kejadian itu boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di kawasan berkenaan.
“Sementara itu, di negeri lain, ribut petir beserta hujan lebat dan angin kencang berpotensi berlaku pada sebelah petang sehingga malam.”
Dalam pada itu, paras air sungai di kebanyakan kawasan dilaporkan menurun setakat tengah hari tadi.
Di Terengganu, enam stesen air berada di tahap amaran, manakala Sabah, Sarawak dan Johor masing-masing mempunyai satu stesen air yang berada di tahap amaran.
Walau bagaimanapun, beberapa stesen air di Kelantan dan Pahang masih berada di tahap bahaya.
Justeru, orang ramai dinasihati sentiasa peka dengan perubahan cuaca dan sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan https://publicinfobanjir.water.gov.my/ bagi mendapatkan maklumat yang terkini dan sahih.