Tempatan

Tukar Teks Sahih Perlembagaan Dalam Bahasa Kebangsaan Tanggungjawab Jabatan Peguam Negara – Khairul Azam Aziz

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 22 November 2021- “Lebih elok kita pinda sahaja Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan jadi tidaklah sakit hati sangat atau lebih baik dibuang terus sahaja, tak payahlah Bahasa Melayu itu menjadi sebagai Bahasa Kebangsaan,” perli Mohd Khairul Azam bin Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Buzze Azam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu teks sahih Perlembagaan Persekutuan masih lagi di dalam Bahasa Inggeris walaupun sudah lebih 64 tahun negara merdeka.

Menurutnya, ia kerana tidak siapa pun yang membawanya secara serius.

“Natijahnya nanti kalau perkara ini kekal berterusan dalam Bahasa Inggeris selama enam ke tujuh dekad lagi, tidak mustahil akan menjadikan Bahasa Melayu itu sebagai bahasa kelas kedua di negara kita sendiri dan sekaligus tidak akan menjadikan Bahasa Melayu itu sebagai Bahasa Kebangsaan.”

Ditanya kepada peguam muda ini apakah mungkin ramai masih tidak tahu ketika ini teks sahih bagi Perlembagaan Persekutuan adalah dalam bahasa Inggeris, beliau menjawab,

“Sekarang ini memang ramai yang tidak tahu termasuk pengamal undang-undang, pegawai kehakiman dan perundangan sendiri pun ada yang tidak tahu, ada yang tak ambil peduli sebab mereka ingat benda itu, alah sekadar isu bahasa sahaja, jadi tidak penting sangat.”

“Semua orang faham Bahasa Melayu dan semua orang faham Bahasa Inggeris, jadi semacam perkara itu dipandang sambil lewa, seolah-olah macam perkara biasa sahaja.”

“Tetapi sebenarnya, ia adalah isu yang lebih besar iaitu melibatkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang sepatutnya menjadi bahasa yang diutamakan berbanding dengan bahasa-bahasa yang lain,” kata beliau dengan tegas.

Ujar Buzze Azam lagi, rakyat Malaysia tahu bahawa bahasa utama adalah Bahasa Kebangsaan manakala Bahasa Inggeris itu adalah bahasa kedua, tetapi di dalam dunia perundangan, kelihatan seolah-olah bahasa kedua itu yang mendominasi menjadi bahasa utama.

Buzze Azam kemudiannya menjelaskan, tatacara menjadikan teks sahih bagi Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Kebangsaan ialah yang pertama, perkara itu hendaklah dibawa ke Parlimen, diluluskan di Parlimen dan dibawa kepada yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan seperti undang-undang biasa dan kemudian membolehkan Baginda menentukan teks Bahasa Kebangsaan itu menjadi teks sahih.

Bagaimanapun, inisiatif dan tanggungjawab itu adalah peranan daripada Jabatan Peguam Negara yang seharusnya memulakan langkah pertama untuk melaksanakan pindaan menukar teks sahih Perlembagaan Persekutuan ke dalam Bahasa Melayu.

“Jadi mulakanlah segera, takkan nak tunggu sampai esok pula.”

Justeru, beliau berharap media-media seperti Samudera.my dapat memainkan isu ini secara besar-besaran, mengambil pandangan lebih ramai orang untuk tempoh yang agak lama dan mungkin ketika itu baru akan ada gesaan untuk perkara ini dipandang serius oleh Jabatan Peguam Negara.

“Mungkin pihak media perlu menemuramah juga Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan pandangan yang lebih tepat berhubung isu ini.”

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button