Tempatan

Tukar Status Kepada Akaun Dewasa Atau Akaun Tabung Haji Dibekukan

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 11 Mac 2022 – “Tabung Haji akan melaksanakan proses pembekuan transaksi pengeluaran sekiranya pendeposit gagal menukar status akaun bermula Isnin, 2 Mei 2022.”

Perkara itu dimaklumkan oleh Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi Tabung Haji, Mohamed Ameen Abd Wahab melalui satu kenyataan yang dikeluarkan oleh portal berita DagangNews.com pada 8 Mac 2022.

Tabung Haji mencadangkan kepada semua ibu bapa dan penjaga yang mempunyai akaun di bawah jagaan bagi anak yang berumur 18 tahun ke atas untuk hadir ke cawangan Tabung Haji berhampiran bersama dengan anak tersebut bagi melakukan proses penukaran status akaun kanak-kanak ke akaun dewasa agar tidak timbul kesulitan di masa akan datang.

Mohamed Ameen Abd Wahab turut memaklumkan bahawa, dalam masa yang sama, status link akaun antara akaun penjaga di bank dan akaun kanak-kanak di Tabung Haji akan terbatal serta pendaftaran haji juga tidak akan dapat dilakukan.

Keputusan ini dibuat bagi memastikan akaun pendeposit yang mencapai 18 tahun diuruskan oleh pendeposit itu sendiri dan rekod maklumat serta biometrik pendeposit berumur 18 tahun tersebut dikemaskini.

Tabung Haji turut mengesyorkan kepada semua pendeposit untuk memastikan akaun mereka kekal berstatus aktif bagi menikmati manfaat menyimpan di institusi itu termasuk simpanan dijamin kerajaan, menerima agihan keuntungan, pengecualian cukai pendapatan selain boleh menyertai pelbagai kempen yang dianjurkan.

Orang ramai boleh merujuk laman web rasmi www.tabunghaji.gov.my atau hubungan talian Khidmat Pelanggan (THCC) di 03-6207 1919 untuk sebarang pertanyaan berkaitan akaun atau sebarang perkhidmatan Tabung Haji.

Leave a Reply

Back to top button