Tukar Label Beras Tempatan, Jual Harga Import Bakal Didenda Hingga RM250 Ribu
KUALA LUMPUR, 10 Julai 2023 – Individu atau syarikat yang menukar label atau bungkusan beras tempatan dan menjualnya dengan harga import bakal dikenakan denda sehingga RM250,000.
Tegas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, “Pihak kementerian memberi amaran dan peringatan keras kepada semua peniaga untuk sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan termasuklah tidak mengambil kesempatan dengan melakukan penyelewengan ke atas penjualan beras tempatan.”
Menurut beliau, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati membuat dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama di bawah Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011.
BACA JUGA: 100 Ibu Bapa Protes Bantah Pengajaran Bahan LGBT Di Sekolah
BACA JUGA: Rosakkan Monumen Purba Colosseum, Pelancong England Bakal Berdepan Hukuman Penjara
BACA JUGA: Pencairan Glasier Cetus Kebakaran Hutan
Katanya, “Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan denda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya manakala pihak syarikat pula boleh didenda sehingga RM250,000.”
Dalam pada itu, Salahuddin turut menasihati pembeli supaya lebih berhati-hati dan sekiranya mempunyai sebarang maklumat mengenai isu ini, mereka boleh mengemukakan aduan di saluran berikut:
- Aplikasi Whatsapp Kementerian: 019-279 4317 / 019-848 8000;
- Portal e-Aduan KPDN iaitu http://e.aduan.kpdn.gov.my;
- Call Centre 1-800-886-800;
- Aplikasi Ez ADU KPDN atau
- Menghubungi bilik gerakan penguatkuasaan 03-8882 6088 / 6245.
Terdahulu, media mendedahkan beberapa pemborong beras dipercayai cuba memanipulasi harga kawalan yang ditetapkan Kerajaan dengan menukar kampit beras tempatan kepada import.
Ia dipercayai berlaku kerana harga beras import tidak dikawal Kerajaan sedangkan harga beras tempatan ditetapkan pada RM2.60 sekilogram.