Tempatan

“Tuhan Tidak Turun Ke Sidang DUN”, Pegawai SUHAKAM Mesti Bertaubat – Pemuda PAS Selangor

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

SELANGOR, 17 Disember 2021 – “Saya bertegas bahawa pegawai SUHAKAM seumpama ini adalah tidak beradab dan mesti bertaubat atas apa yang diucapkannya dalam forum anjuran SIS tersebut.”

Demikian teguran daripada Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Haji Mohamed Sukri Omar kepada Ketua Bahagian Undang-Undang dan Perjanjian Antarabangsa SUHAKAM, Afiq M Noor walaupun ucapannya itu bertujuan untuk membuat bandingan dan gambaran.

“Ini kerana kedudukan Allah sangat mulia dan tidak boleh dibuat main dalam hal-hal sedemikian. Setiap Muslim perlu sedar mengenai ini agar setiap ucapan dan tindakan kita beradab kepada Allah yang hukumnya wajib.”

“Apakah forum tersebut hanya untuk menunjukkan kebiadaban atau mahu membincangkan secara matang dalam hal yang dijadikan tajuk perbincangan?” soal Ustaz Haji Mohamed Sukri Omar.

Ustaz Haji Mohamed Sukri Omar turut memberi amaran kepada penganjur forum supaya tidak berselindung atas nama forum dan hanya syok sendiri bersama panel yang mesra dengan ideologi mereka sahaja.

“Jangan hanya pandai bersilat di gelanggang sendiri tetapi tidak berani berpencak dengan pesilat yang lain. Ini bukan forum perbincangan akademik namanya, tetapi bacul!”

Tambah Ketua Pemuda PAS itu lagi, perbezaan ideologi dalam hal-hal berkaitan politik dan sistem pemerintahan bukan sesuatu yang sepatutnya dijadikan ruang untuk tidak beradab dengan Allah.

Beliau turut menambah, mereka sedia maklum SIS dikenali sebagai entiti yang sering mempertikaikan hukum dalam Islam terutamanya yang melibatkan perbezaan jantina.

Justeru, beliau menasihati sekiranya benar mahukan perbincangan lumat dan terperinci, rujuklah pihak kerajaan negeri Kelantan sendiri berhubung Kanun Jenayah 2019 dan bukannya hanya membuat forum sesama sendiri dan menghentam tindakan kerajaan negeri Kelantan.

Beliau merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Afiq M Noor, Ketua Undang-Undang dan Perjanjian Antarabangsa SUHAKAM yang mendakwa bahawa Tuhan tidak turun bersidang ke Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kenyataan itu dikeluarkannya dalam forum awam anjuran Sisters in Islam (SIS) secara atas talian pada 9 Disember 2021, bertajuk “Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2019.”

Leave a Reply

Back to top button