Antarabangsa

Tudung Tidak Wajib Dalam Islam – Mahkamah Tinggi India

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KARNATAKA, 17 Mac 2022 – Mahkamah Tinggi India semalam memutuskan bahawa pemakaian tudung adalah tidak wajib dalam Islam.

“Kami berpendapat bahawa pemakaian tudung oleh wanita Islam tidak menjadi sebahagian daripada amalan agama yang penting dalam akidah Islam.”

Keputusan ini dikeluarkan oleh barisan panel terdiri daripada Ketua Hakim Negara India Ritu Raj Awasthi, hakim Krishna S Dixit dan hakim JM Khazi berikutan pertikaian dalam isu bertudung di institusi pendidikan India.

“Tidaklah jika amalan berhijab tidak dipatuhi, yang tidak berhijab menjadi berdosa, Islam hilang kemuliaannya dan ia tidak lagi menjadi agama,” ini antara kenyataan yang dikeluarkan dalam penghakiman tersebut menurut portal NDTV.

Kata mahkamah lagi, arahan pakaian seragam adalah sekatan yang munasabah ke atas hak asasi di bawah Perkara 25 perlembagaan negara India.

“Idea persekolahan tidak akan lengkap tanpa guru, pendidikan dan pakaian seragam. Arahan pakaian seragam sekolah hanyalah sekatan yang munasabah yang dibenarkan oleh perlembagaan dan tidak boleh dibantah oleh pelajar.”

Maka, “Pakaian seragam sekolah tidak lagi seragam jika tudung berwarna sama dibenarkan. Dua kategori pelajar-pelajar perempuan akan mewujudkan rasa ‘pengasingan sosial’, yang tidak diingini,” dakwa mahkamah.

Kerajaan Karnataka India sebelum ini telah berhujah di hadapan Mahkamah Tinggi bahawa memakai tudung bukanlah amalan agama Islam yang penting dan mengharamkannya tidak melanggar jaminan perlembagaan kebebasan beragama.

Kenyataan ini dipersetujui berikutan keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Karnataka semalam sekaligus menolak petisyen writ yang difailkan oleh pelajar-pelajar Muslimah untuk mendapatkan kebenaran memakai tudung di kolej.

Website Live Law melaporkan bahawa rayuan keputusan kes telah dibawa ke Mahkamah Agung dan pihak mahkamah akan mempertimbangkannya selepas cuti Holi.

Leave a Reply

Back to top button