Tuduhan Jenayah Moral: Rehatkan Ketua Pengarah JKSM, Nasihat Persatuan Pegawai Syariah
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PERSATUAN PEGAWAI SYARIAH MALAYSIA,
MALAYSIA SYARIAH OFFICERS’ ASSOCIATION
d/a Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Blok C. Kompleks Islam Putrajaya.
No. 20, Jalan Tunku Abdul Rahman, Presint 3, 62100 Putrajaya
Tel: 019-2633369
Faks: 03-8870 9500
Homepage: www.ppsm.org
e-mail: [email protected]
KENYATAAN AKHBAR
14 JANUARI 2022
Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (“PPSM”) memandang serius pendedahan Lokman Noor Adam di laman Facebook Page Lokman Noor Adam Official pada 10 Januari 2022 jam 10.48 malam dan beberapa laporan media berkaitan tuduhan jenayah moral terhadap Ketua Pengarah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (KP JKSM).
PPSM minta ahli-ahli PPSM dan orang ramai bertenang, sabar, menunggu siasatan dan tindakan pihak berkuasa yang sedang bertungkus lumus menangani isu ini. PPSM menyedari ramai ahli yang berasa terkejut apabila mendengar pendedahan isu ini kerana jika tuduhan itu benar ia amat bertentangan dengan Adabul Qhadi (Etika Hakim) yang wajib diamal dan dipertahan oleh semua hakim-hakim syarie.
PPSM menerima maklum balas bahawa ahli-ahli PPSM telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan KP JKSM apabila status moral peribadinya menjadi bahan pertikaian di khalayak yang boleh menyebabkan Institusi Kehakiman Syariah dipandang rendah oleh masyarakat.
PPSM amat terkejut dengan pendedahan terbaru Lokman Noor Adam di Facebook Pagenya pada 13 Januari 2022 10.49 malam, di minit 7.56 video apabila beliau membacakan laporan polis pengadu yang menyatakan seperti berikut. “Dia (KP JKSM) juga telah memaklumkan bahawa dia boleh mengatur hakim khususnya di Selangor dan Kuala Lumpur bagi memenangkan sesuatu kes tuntutan seseorang”. Kenyataan ini amat berbahaya bagi seorang ketua tertinggi Institusi Kehakiman dan merupakan penyalahgunaan kuasa serta membolehkan menyebab keadilan keputusan kes mahkamah diragui.
Bagi mengelakkan hal tersebut terus memburukkan imej Institusi Kehakiman Syariah, adalah wajar pihak Jabatan Perdana Menteri (JPM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengambil tindakan sewajarnya agar beliau direhatkan sementara sehingga siasatan ke atasnya sempurna berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Hal ini juga akan memudahkan pihak berkuasa melaksanakan siasatan dan kebenaran akan segera terserlah.
PPSM mendokong prinsip berani kerana benar dan yang salah tetap perlu menerima penghakiman yang seadilnya.
Sekian, terima kasih.
HAJI IBRAHIM BIN DERIS
Presiden
Persatuan Pegawai Syariah Malaysia Sesi 2019/2021
Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my