NGO

Tuduhan Human Rights Watch Ke Atas Mukhayyam Bias Persampelan – Dr Rafidah Hanim Mokhtar

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 11 Ogos 2022 – “Dakwaan Pemerhati Hak Asasi Manusia (Human Rights Watch) disifatkan sebagai berat sebelah kerana melibatkan kajian yang mempunyai bias persampelan dan definisi keganasan yang tidak jelas,” ujar Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar.

Menurutnya, kesimpulan Human Rights Watch (HRW) bergantung kepada laporan kajian SUHAKAM melibatkan 100 transgender.

“Laporan SUHAKAM ini mengandungi bias persampelan kerana mak nyah ataupun transgender yang direkrut adalah di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur dan tidak mewakili golongan transgender daripada seluruh negara yang telah mengikuti Mukhayyam. SUHAKAM menyebut bahawa kekangan bajet menyebabkan mereka mengambil responden hanya dari dua negeri ini.”

“Limitasi kajian SUHAKAM ini sewajarnya dipetik oleh HRW mengikut standard laporan kajian yang betul,”ujarnya.

Beliau yang merupakan seorang pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu menegaskan, jelas hal ini adalah bias persampelan kerana para responden hanya melibatkan NGO yang tegar memperjuangkan hak LGBT. Ini kerana dua pertubuhan yang aktif menolak pendekatan agama dalam isu LGBT iaitu Justice For Sisters dan SEED dinamakan dalam penghargaan SUHAKAM.

Jelas, kajian tersebut gagal melibatkan transgender dari golongan yang inginkan pendekatan agama yang mengikuti mukhayyam.

“Ini yang saya maksudkan dengan bias persampelan. Ada ramai lagi komuniti mak nyah dari negeri-negeri lain seluruh Malaysia yang menyertai mukhayyam dan mendapat manfaat darinya.”

Menurut beliau, ketika isu mukhayyam dibawa ke Geneva sebagai “State Sponsored Violence” oleh Numan Afifi sekitar tahun 2019, terdapat 12 NGO mewakili komuniti LGBT yang bertegas mempertahankan pendekatan agama dan aktif menyertai Mukhayyam.

Sewajarnya, HRW patut adil dan mengambil pandangan mereka juga jika mahu membuat perbandingan dan kajian yang lebih tepat,” katanya.

Dr Rafidah berkata, maka jelas di situ dapatan kajian mereka boleh dipersoalkan kerana tidak melibatkan sebahagian besar komuniti LGBT yang menyertai mukhayyam – apa yang beliau sifatkan sebagai bias persampelan. Komuniti LGBT ini mempertahankan mukhayyam sebagai satu kaedah untuk mereka menyelesaikan polemik diri.

Ujar beliau lagi, dalam metodologi kajian juga adalah sukar untuk memastikan mereka yang ditemuramah itu benar-benar pernah mengikuti mukhayyam seperti yang dijalankan oleh pihak JAKIM dan Majlis Agama Islam.

Tambahan pula, metodologi kajian memberi kebebasan kepada responden untuk mentakrifkan sendiri apa itu keganasan atau “violence” yang akan menyebabkan ketidakseragaman dan definisi yang longgar.

Perbandingan Laporan Keganasan Oleh Warden Polis, Rakan Lokap Dan Penguatkuasa Agama

Dr Rafidah juga melahirkan kegusaran kerana pihak HRW hanya mengutarakan naratif keganasan oleh cerapan individu (berdasarkan takrifan masing-masing) tetapi tidak mengendahkan jadual 47 dalam laporan SUHAKAM yang menunjukkan hanya seorang dari 100 responden kajian melaporkan keganasan melibatkan penguat kuasa agama negeri.

Bahkan, dalam laporan SUHAKAM lebih banyak aduan keganasan oleh penguat kuasa polis (Jadual 44) dan rakan dalam tahanan atau inmate (Jadual 45) dilaporkan dengan frekuensi 5-9 kejadian keganasan dilaporkan.

“Ketika pihak-pihak pro LGBT sentiasa menghentam penguat kuasa agama seperti JAWI dan JAIS dengan memainkan sentimen keganasan, saya tidak faham kenapa pentadbiran SUHAKAM ketika itu tidak merujuk dapatan kajian mereka sendiri ini,”ujarnya.

Menurut Dr Rafidah, sepatutnya HRW dan SUHAKAM merujuk kajian mereka sendiri bahawa amat sedikit responden transgender mereka berhadapan masalah dikasari penguatkuasa agama berbanding dengan polis dan sesama tahanan.

Dakwaan HRW Ada Kes Bunuh Diri Akibat Mukhayyam Tidak Berasas Dan Melampau

Tegas beliau, dakwaan HRW bahawa mukhayyam menyebabkan timbul keinginan bunuh diri (suicidal ideation) adalah sangat tidak berasas dan melampau.

“Sifat mukhayyam yang bukan memaksa (iaitu penyertaan secara sukarela voluntari) dan sifat kehadiran secara berkumpulan amat sukar untuk mendedahkan sesiapa kepada tuduhan keinginan bunuh diri.”

Dr Rafidah berkata, peserta yang menghadiri mukhayyam kali pertama tidak pernah dipaksa untuk menghadiri kembali. Sebaliknya, program mukhayyam ini mendapat sambutan sehingga tiap-tiap tahun kita dapat penyertaan yang ramai daripada transgender ataupun mak nyah. Ada ketikanya, penganjur terpaksa menolak permohonan penyertaan itu disebabkan kapasiti dan kekangan ruang yang tidak mencukupi di lokasi mukhayyam itu.

HRW jelas menindas hak beragama golongan transgender yang inginkan pendekatan agama dan ini bukan sahaja melibatkan agama Islam bahkan, pihak Kristian juga menyediakan “pastoral-care” bagi transgender beragama Kristian.

Dakwaan HRW bahawa mukhayyam ini satu bentuk “Conversion Therapy” yang mendorong kepada bunuh diri ini dibuat kerana HRW tidak pernah menyiasat secara objektif komponen mukhayyam.

Sebaliknya, mereka sekadar mengimport data dari Conversion Therapy Barat yang melibatkan kejutan elektrik (Electroconvulsive therapy (ECT) ), terapi rogol untuk homoseksual (corrective rape/curative rape), pemberian hormon secara paksaan, paksaan berkahwin dan lain-lain lagi. Ekstrapolasi pihak HRW menggunakan data dari amalan pihak Barat untuk diaplikasi kepada mukhayyam adalah tidak bersifat saintifik.

Dr Rafidah menggesa, HRW sebagai NGO hak asasi menghormati hak komuniti transgender memilih pendekatan beragama dalam menyelesaikan polemik diri. Dalam gesaan mereka ingin menghentikan mukhayyam, HRW sebenarnya menindas hak beragama mak nyah Muslim di negara kita.

Mengakhiri temuramah, Dr Rafidah menyimpulkan:

“Using a bias study, HRW is trampling on the religious rights of Muslims LGBTQ community and oppressing their freedom to make their own choice in attending mukhayyam”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: