NGO

Tubuh Suruhanjaya Bahasa Kebangsaan – Tuntutan 6 Teras RESOLUSI GERAKAN NASIONAL 152

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

RESOLUSI GERAKAN NASIONAL 152 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN 

Kami rakyat Malaysia yang berpegang teguh pada Perlembangaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara telah mengadakan suatu program bertajuk ‘Randau ke-17: Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan’ pada Sabtu, 03 Jun 2023 bertempat di Wisma Majlis Perundingan Melayu, Kuala Lumpur.

Susulan dari program tersebut serta beberapa rundingan lanjut yang diadakan dengan pihak-pihak berkepentingan, Sekretariat Gerakan Nasional 152 PP mengumumkan resolusi seperti berikut kepada Majlis Raja-Raja Melayu, Kerajaan Malaysia dan rakyat Malaysia.

TERAS 1:
INSTITUSI MAJLIS RAJA-RAJA

a) Cadangan penubuhan sebuah Suruhanjaya Bahasa Kebangsaan bagi memartabatkan
kembali, memelihara serta memperkasa Bahasa Melayu dalam fungsinya sebagai lambang kedaulatan negara, jati diri serta instrumen perpaduan rakyat, dan diberi kuasa untuk menerima laporan, memantau, mengesyorkan kepada semua cabang kerajaan, dan memastikan kerajaan mengambil tindakan pada setiap cadangan yang diberikan suruhanjaya itu.

Suruhanjaya ini hendaklah bersifat sebuah Suruhanjaya yang ditubuhkan oleh Perlembagaan dan bukan melalui Akta Parlimen. Punca kuasa penubuhannya dibuat melalui Pindaan Perlembagaan kepada Perkara 152 dengan memasukkan perkara yang merangkumi semua bentuk kuasa sepertimana yang dicadangkan di atas.

TERAS 2:
PERLEMBAGAAN

a) Bahasa Melayu menjadi Teks Sahih Perlembagaan Persekutuan.

b) Bersetuju bahawa Perkara 160B telah ditepati bersempena Majlis Pelancaran Perlembagaan Persekutuan Teks Bahasa Kebangsaan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 29 September 2003, seterusnya penerbitan teks tersebut di bawah Perkara 160A pada tahun yang sama.

TERAS 3:
PUNCA KUASA (EKSEKUTIF, LEGISLATIF, JUDISIARI)

a) Seksyen 8 dalam Akta Bahasa Kebangsaan digubal semula supaya semua perbicaraan termasuk alasan penghakiman dalam semua peringkat Mahkamah terutamanya Mahkamah Persekutuan mesti dibuat dalam Bahasa Melayu.

b) Fasal pengecualian yang terkandung dalam Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan dimansuhkan.

c) Semua ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara serta Dewan Undangan mana-mana Negeri hendaklah menggunakan Bahasa Melayu semasa prosiding. Penggunaan Bahasa Inggeris tertakluk kepada keizinan secara nyata daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Undangan mana-mana Negeri, sepertimana yang tertera dalam Seksyen 5 Akta Bahasa Kebangsaan.

d)Pembatalan secara berfasa, Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996 yang memberikan kuasa kepada Menteri Pendidikan untuk mengecualikan penggunaan Bahasa Melayu di institusi pendidikan bertaraf ‘Jenis Kebangsaan.

e) Pembatalan secara berfasa, Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996 yang memberikan kebenaran Menteri Pendidikan untuk menubuhkan serta menyenggarakan sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan.

f) Memansuhkan dengan segera semua penggunaan Bahasa Inggeris sepertimana di dalam ketetapan Perkara 152 (2), 152 (3), 152 (4), 152 (5) selepas 10 tahun merdeka.

g) Meminda Bahagian III Perlembagaan berkenaan Kewarganegaraan dalam Perkara 14 hingga 22 dengan memasukkan syarat kemahiran asas dalam Bahasa Melayu untuk permohonan kewarganegaraan:

i. Kemahiran asas Bahasa Melayu seperti yang disyaratkan di dalam Perlembagaan mesti secara minimanya melibatkan kemahiran bertutur, membaca dan memahami dalam Bahasa Melayu pada tahap sederhana murid Sekolah Kebangsaan Darjah 6 (Enam). Satu sistem ujian yang piawaian bagi memastikan syarat Kemahiran Bahasa Melayu merangkumi ketiga-tiga syarat minimum ini hendaklah digubal dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka.

h) Mencadangkan syarat tambahan kepada Perkara 14 hingga 22:

i. Pemohon hendaklah memahami kehidupan, adat resam dan kebudayaan Negara Malaysia.

ii. Pemohon mesti lulus ujian bertulis dan lisan sebelum pertimbangan untuk mendapat taraf kewarganegaraan diberikan.

TERAS 4:
PENTADBIRAN (KEMENTERIAN, AGENSI, PIHAK BERKUASA TEMPATAN)

a) Bahasa Melayu hendaklah digunakan untuk semua urusan rasmi dalam semua bidang perkhidmatan awam dan swasta dalam ranah pentadbiran, perundangan, pendidikan, ekonomi, media am, tempat awam dan sebagainya sepertimana yang tertera dalam Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan.

b) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu mewajibkan semua bentuk penamaan kawasan, taman-taman perumahan, projek-projek dan iklan-iklan komersil dibuat dalam Bahasa Melayu.

TERAS 5:
PENDIDIKAN

a) Kementerian Pendidikan Malaysia perlu memansuhkan mana-mana program yang bercanggah dengan Bahasa Melayu atau yang melemahkan Bahasa Melayu. Suatu piawaan yang seragam dalam subjek atau mata pelajaran perlu diwujudkan bagi tujuan ini.

TERAS 6:
KOMUNIKASI & DOKUMENTASI

a) Semua program televisyen dalam waktu perdana serta semua program wawancara dalam saluran berita television perlu menggunakan Bahasa Melayu atau dialihsuarakan kepada Bahasa Melayu.

b) Menggalakkan tulisan jawi dalam urusan rasmi bagi institusi Islam

Justeru itu, kami mendesak dan menuntut kepada semua pihak yang bertanggungjawab di atas setiap satu teras di atas untuk mengambil tindakan dengan melaksanakan resolusi-resolusi berkenaan.

Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: