Tempatan

Tragedi Banjir Taman Sri Muda: MBSA & KDEB Gagal Batal Saman Penduduk

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SHAH ALAM, 07 Julai 2023 – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan KDEB Waste Management Sdn Bhd gagal membatalkan saman dari 50 orang mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, atas dakwaan kecuaian dalam mengendalikan banjir pada tahun 2021.

Dalam keputusan semalam, Mahkamah Tinggi di Shah Alam memutuskan akan mendengar tuntutan mahkamah oleh 50 penduduk tersebut yang menuntut pampasan lebih RM3.7 juta berhubung tragedi banjir yang berlaku pada bulan Disember 2021 di kawasan kejiranan mereka.

BACA JUGA: NGO LGBT Cuba Gambarkan Kumpulan Mereka Terancam Di Malaysia

BACA JUGA: Kos Haji Swasta Mungkin Capai Sehingga RM60,000 Tahun Depan

BACA JUGA: Sweden Pertimbang Haramkan Pembakaran Al-Quran

Sebelum ini, MBSA dan KDEB — yang merupakan responden keenam dan ketujuh yang disaman — telah memfailkan permohonan secara berasingan untuk membatalkan tuntutan mahkamah.

Menurut peguam kepada 50 plaintif itu, V. Vemal Arasan kepada sebuah portal tempatan berbahasa Inggeris, Hakim Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab menolak kedua-dua permohonan itu kerana beliau “bersetuju bahawa terdapat isu untuk dibicarakan dalam perbicaraan penuh” dan mengarahkan kedua-dua MBSA dan KDEB membayar kos RM4,000 setiap satu.

Selain itu, Mahkamah akan mendengar permohonan berkaitan yang dibuat Kerajaan Persekutuan; Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA); Menteri Tugas-Tugas Khas; Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi; Menteri Alam Sekitar Dan Air; serta Jabatan Pengairan dan Saliran untuk membatalkan saman yang sama.

Kerajaan berhujah bahawa tuntutan mahkamah itu tidak mendedahkan sebab tindakan yang munasabah dan bahawa banjir itu “kudrat Tuhan”.

Mahkamah akan mendengar permohonan Kerajaan pada 9 Ogos ini.

Pada Jun 2022, samudera.my melaporkan, mangsa-mangsa banjir Taman Sri Muda memohon ganti rugi khusus sebanyak RM3,767,148.51, selain daripada memohon ganti rugi umum dan teruk yang bakal ditentukan oleh mahkamah.

Ganti rugi khusus tersebut adalah bagi memohon ganti rugi kehilangan/kerosakan harta benda, manakala dua lagi permohonan ganti rugi merangkumi permohonan ganti rugi bagi hal-hal lain seperti menanggung penderitaan, kesan pada mental dan emosi mangsa.

Kumpulan pemohon turut memohon supaya beberapa defendan dideklarasi sebagai telah gagal menjalankan tanggungjawab berikutan insiden banjir Disember 2021 yang lalu.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: