Tempatan

50% Ladang Ayam Diancam Muflis

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 29 Mei 2023 – Kelemahan polisi Kerajaan mengawal sektor ternakan ayam kini mengancam sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan 2,100 ladang ayam kontrak seluruh negara.

Sumber industri ternakan ayam Wilayah Tengah Semenanjung memberitahu, lima faktor telah meletakkan penternak ayam di ambang muflis yang dijangka menjejaskan kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan 2.2 juta ekor ayam setiap hari bagi memenuhi keperluan dalam negara.

BACA JUGA: Individu Perolokkan Allah, Pendakwah Gesa PDRM Ambil Tindakan

BACA JUGA: Sabah Diiktiraf Sebagai Tapak UNESCO Triple Crown, Ketiga Di Dunia

BACA JUGA: Peguam Mahu Kes Rasuah & Pengubahan Wang Haram Guan Eng & Isteri Dibuang

Faktor-faktor itu adalah cadangan mengapungkan harga ayam dan telur bermula Julai, langkah Bank Negara (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), tiada lembaga unggas, cadangan menaikkan tarif elektrik kepada syarikat multinasional serta pengenalan upah gaji minimum RM1,500.

Jelasnya, langkah mengapungkan harga ayam dan telur tidak dapat membantu menyelamatkan sektor berkenaan bahkan semakin membunuh penternak kontrak yang sekarang sudah ‘dibuli’ kartel.

“Sekarang ini, penternak ayam kontrak sedang bergelut dengan kenaikan kos operasi. Harga anak ayam RM3.60 seekor, harga dedak mencecah RM140 satu beg 50 kilogram. Kos buruh meningkat, sebab pengenalan upah minimum RM1,500 sampaikan pekerja asing sudah pandai minta gaji minimum RM1,500.”

“Kemudian, apabila Kerajaan mahu menaikkan tarif elektrik syarikat besar, sudah tentu kartel ayam serta penternak bersepadu atau integrator akan mengenakan kos tambahan kepada penternak kontrak. Bukan mereka yang tanggung kenaikan kos itu, tapi mereka timpakan kenaikan kepada penternak kontrak macam kami yang menerima anak ayam serta dedak daripada kartel,” kata sumber.

Tambahnya lagi, kenaikan OPR baru-baru ini juga menambah seksa buat ladang-ladang kontrak yang membuat pinjaman bank untuk mendirikan ladang ayam serta ladang telur.

“Untuk set up broiler dua tingkat dengan kapasiti 50,000 ekor ayam satu pusingan, modalnya kira-kira RM5 juta. Sudah ramai yang mengambil pinjaman itu sekarang ini sedang bergelut akibat kenaikan OPR mengakibatkan peningkatan bayaran bulanan kepada bank.”

“Sudahlah sekarang bekalan anak ayam sangat kurang. Tahun lepas, kita boleh mengeluarkan ayam enam kali pusingan setahun. Sekarang ini, empat ke lima pusingan pengeluaran saja, itupun susah mahu jumpa ladang kontak yang boleh mencecah lima pusingan pengeluaran setahun sebab anak ayam kurang sangat,” katanya.

Mengulas lanjut, sumber berkata desakan kononnya agar Kerajaan mengapungkan harga ayam dan telur sebenarnya bukan datang daripada kalangan penternak sebaliknya merupakan tuntutan pihak kartel.

“Sejak bila pula penternak kontrak ada masa untuk ambil tahu soal harga ayam dan telur di pasaran? Kami cuma menerima bekalan anak ayam daripada kartel dan membelanya sampai matang iaitu 30 hingga 35 hari,” ujarnya lagi.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: