Tolak Tekanan Barat, Malaysia Komited Kekalkan Hubungan Dengan Hamas
KUALA LUMPUR, 17 Oktober 2023 – Kerajaan Malaysia menolak tekanan Barat untuk mengutuk Hamas sekali gus komited dalam mengekalkan hubungan dengan gerakan pejuang Palestin itu.
Menerusi sidang Dewan Rakyat semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan kepada Barat bahawa, “Kita dari segi dasar, memang ada hubungan dengan Hamas, dari dulu dan ia diteruskan.”
“Dan kita tidak bersetuju dengan sikap mereka untuk menekan kerana Hamas juga menang di Gaza melalui pilihan raya bebas dan rakyat Gaza memilih mereka untuk memimpin.”
Dalam pada itu, Anwar turut menekankan, “Dalam hal ini, jika tidak ada tindakan tegas, ia akan jadi satu genocide war. Kalau di Asia Tenggara, kita faham, dengan killing fields, apa yang akan berlaku di Gaza dalam beberapa hari ini kalau dunia tidak berupaya, ialah dunia mengizinkan pembunuhan ramai-ramai ke atas rakyat Gaza dan Palestin.”
Terdahulu, Anwar mengkritik masyarakat antarabangsa yang berpendirian berat sebelah terhadap konflik Palestin-Israel.
Ujarnya di platform X, “Masyarakat antarabangsa berterusan mengambil tindakan berat sebelah terkait segala bentuk kekejaman dan penindasan kepada rakyat Palestin. Rampasan tanah dan harta milik rakyat Palestin dibuat Zionis tanpa henti.”
“Akibat ketidakadilan ini, ratusan nyawa yang tidak bersalah menjadi mangsa korban. Malaysia kekal bersolidariti dengan perjuangan rakyat Palestin.”