Tempatan

Tol Percuma Tetap Perlu Sentuh Kad – PLUS

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 28 April 2022 – Pengarah Urusan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Datuk Azman Ismail berkata, pengguna lebuh raya PLUS tetap perlu menyentuh kad Touch ‘n Go, RFID atau SmartTAG walaupun Kerajaan menawarkan tol percuma sepanjang empat hari kerana palang tetap beroperasi.

“Pengguna yang memilih menggunakan RFID juga perlu memastikan masuk dan keluar dari lebuh raya menggunakan lorong RFID sahaja. Sepertimana kad Touch ‘n Go dan SmartTAG, tiada bayaran tol dikenakan atau ditolak daripada e-dompet mereka,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Menurut Datuk Azman Ismail, syarat itu diputuskan bagi membolehkan PLUS merekodkan data trafik.

Selain itu, beliau juga mengingatkan kepada pengguna kad Touch ‘n Go untuk memeriksa status kad sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan mereka terkandas di lorong tol jika menggunakan kad Touch ‘n Go yang tidak aktif dan telah dinyahaktif.

Pengguna boleh menyemak status kad Touch ‘n Go di http://tngportal.touchngo.com.my/tngPortal/login.

Baru-baru ini Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Kerajaan bersetuju untuk memberikan tol percuma dan diskaun tol kepada Keluarga Malaysia yang pulang berhari raya.

Pemberian tol percuma membabitkan lebuh raya milik Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang menghubungkan jaringan lebuh raya utara selatan dan Anih Berhad (ANIH) yang menghubungkan lebuh raya pantai timur (LPT).

Ia akan bermula pada jam 12 tengah malam pada 30 April ini sehingga jam 11:59 malam pada 1 Mei depan, kepada semua kelas kenderaan.

Pemberian tol percuma di Lebuh Raya Utara– Selatan dan LPT juga akan diberikan ketika orang ramai dalam perjalanan pulang ke kediaman masing-masing berkuat kuasa pada jam 12 tengah malam, 7 Mei depan hingga jam 11:59 malam 8 Mei 2022.

Sementara itu, tawaran diskaun tol antara 30 peratus dan 50 peratus akan diberikan kepada lebuh raya-lebuh raya lain pada tarikh dan masa yang sama kepada semua kelas kenderaan.

Maklumat lanjut mengenai lebuh raya yang terlibat serta kadar diskaun tol yang ditawarkan adalah seperti di bawah:

WhatsApp-Image-2022-04-28-at-8.11.11-AM-162x300.jpeg

Sehubungan penawaran tol percuma, PLUS meminta pengguna menyusun jadual perjalanan balik kampung dan kembali semula ke ibu kota mengikuti jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang telah dikeluarkan sebelum ini.

Leave a Reply

Back to top button