Tokoh Keselamatan Siber Jerman Dituduh Bekerjasama Dengan Pengintip Rusia
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
JERMAN, 12 Oktober 2022 – Menteri Dalam Negeri Jerman, Nancy Faeser bercadang untuk memecat pengerusi agensi keselamatan siber kebangsaan negara tersebut atas tuduhan bahawa pengerusi terbabit berhubung dengan agen perisikan Rusia.
Namun, tuduhan tersebut kemudiannya dinafikan oleh Majlis Keselamatan Siber Jerman.
Arne Schonbohm, yang memegang jawatan sebagai presiden bagi Jabatan Keselamatan Maklumat Kebangsaan (BSI) sejak Februari 2016 telah dikatakan berjumpa dengan perisik Rusia melalui Majlis Keselamatan Siber Jerman sebagaimana yang dilaporkan oleh media Bild dan ZDF News Channel (ZDF).
Menurut ZDF, pertubuhan tersebut yang mana turut disertai oleh Protelion, sebuah syarikat yang berpusat di Berlin, sebelum ini telah beroperasi di bawah nama Infotecs, GmbH. Dikatakan bahawa syarikat Protelion itu adalah anak syarikat bagi sebuah syarikat keselamatan siber yang dimiliki oleh Rusia iaitu OAOInfotecs.
OAO Infotecs pula, sebagaimana yang dilaporkan oleh kumpulan penyelidik Policy Network Analytics adalah dibangunkan oleh mantan pekerja perkhidmatan perisikan Rusia, KGB.
Kementerian Dalam Negeri Jerman, dalam mengulas isu terbabit telah membuat kenyataan seperti berikut,
“Pihak Kementerian Dalam Negeri mengambil serius mengenai hal-hal yang telah dilaporkan serta sedang melakukan siasatan menyeluruh.”
Namun, Majlis Keselamatan Siber Jerman telah mengatakan bahawa tuduhan campur tangan Rusia itu adalah sesuatu yang “mengarut” dengan membuat kenyataan bahawa Protelion GmbH dan syarikat pendahulunya hanya menyertai majlis itu pada 2020 dan sejak itu mereka tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan ataupun sebarang projek dengan syarikat tersebut.