Tok Mat Bakal TPM, KJ Diberi Jawatan Penting Dalam Kementerian?
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 25 November 2022 – Ahli Parlimen Rembau Datuk Seri Mohamad Hasan dan bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dari Barisan Nasional (BN) adalah antara nama yang disebut akan diberikan jawatan penting di dalam Kerajaan Perpaduan Nasional di bawah pentadbiran Perdana Menteri ke-10 Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh sumber dalaman Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), demikian laporan sebuah portal tempatan.
Datuk Seri Mohamad Hasan atau lebih dikenali sebagai Tok Mat yang merupakan Timbalan Presiden UMNO dikhabarkan akan dilantik menjadi ‘orang nombor dua’ negara, Timbalan Perdana Menteri (TPM).
Manakala, Khairy Jamaluddin dan seorang lagi pemimpin muda daripada BN, Naib Ketua Pemuda UMNO Shahril Sufian Hamdan bakal dilantik sebagai Senator dan menjawat jawatan penting dalam kementerian.
“Mereka (PH) kagum dengan kepakaran dan cara kerja dua pemimpin ini walaupun kedua-duanya tewas dalam perebutan kerusi Parlimen masing-masing di Sungai Buloh dan Alor Gajah,” kata sumber tersebut.
Tambah beliau, beberapa kementerian akan diisi oleh pemimpin daripada BN antaranya Kementerian Kewangan, Kementerian Pertahanan atau Kementerian Dalam Negeri dan beberapa Kementerian strategik lain.
“Berdasarkan perbincangan sebelum ini, sekurang-kurangnya tiga kementerian akan diisi oleh pemimpin daripada BN termasuk beberapa kementerian kanan.”
Selain itu, beberapa Kementerian strategik juga mungkin akan diisi oleh beberapa tokoh besar daripada BN serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan kombinasi pemimpin daripada gabungan Pakatan Harapan (PH), kata sumber.