Tempatan

Agong Zahir Ucapan Selamat Menyambut Hari Tentera Darat Ke-88

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Tentera Darat Malaysia ke-88 kepada seluruh warga angkatan Tentera Darat, termasuk veteran dan semua yang pernah berkhidmat.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada anggota angkatan Tentera Darat, khususnya yang bertugas di barisan hadapan di atas pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira masa dan penat lelah dalam membantu kerajaan memerangi penularan wabak COVID-19.

Selain itu, baginda juga menzahirkan setinggi penghargaan kepada seluruh keluarga para perwira dan anggota Tentera Darat yang telah terkorban semasa bertugas dan dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara.

“Baginda mendoakan semoga supaya roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama solihin,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan.

Selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, Seri Paduka Baginda amat menyanjung tinggi dan merakamkan setinggi penghargaan atas jasa, khidmat bakti dan pengorbanan yang dicurahkan oleh seluruh warga dan bekas anggota Tentera Darat dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara yang kita cintai bersama ini.

Akhir titah, baginda mendoakan angkatan Tentera Darat terus menjadi sebuah angkatan yang disegani dan dihormati di persada antarabangsa.

Dalam kenyataan lain, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain berkata, acara Perbarisan Hari Tentera Darat tetap diadakan kerana sambutannya adalah salah satu cara untuk mengenang kembali penubuhan Tentera Darat.

Acara perbarisan Hari Tentera Darat Ke-88 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Port Dickson berlangsung buat pertama kalinya dalam suasana kebiasaan baharu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: