NGO

Tiong King Sing Tiada Kuasa Campur Urusan Keselamatan Negara – Malaysia Corruption Watch

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

1. Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berpendapat bahawa tindakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang didakwa menceroboh masuk ke balai ketibaan antarabangsa KLIA bagi membebaskan pelawat China yang ditahan Jabatan Imigresen Negara (JIM) tanpa iringan dan sokongan daripada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian agak kurang profesional. Sewajarnya Menteri tersebut berbincang atau melaporkannya terus kepada Menteri Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan lanjut. Beliau juga tidak mempunyai kuasa untuk mencampuri urusan keselamatan negara.

2. Adakah tindakan ini dilakukan atas dasar politik negara atau mempunyai matlamat peribadi? Tanda soal ini perlu dijawab dengan lebih jelas agar rakyat dapat memahami niat sebenar sebelum rakyat membuat tafsiran liar bahawa tindakan tersebut bertujuan melindungi sesuatu jenayah lain?

3. MCW juga berpendapat bahawa wujud maksud tersirat di sebalik kontroversi tindakan tersebut. Walaupun terdapat dakwaan mengenai amalan rasuah yang serius melibatkan Pegawai Imigresen, tidak semestinya insiden ini mewakili keseluruhan situasi dalam kes ini. MCW mendesak agar Menteri tersebut memberikan penjelasan yang lebih berasas dan bukan cuba mengalih perhatian rakyat dengan mempolitikkan isu rasuah di KLIA.

4. MCW juga ingin menegaskan sekiranya benar terdapat dakwaan mengenai permintaan suapan oleh Pegawai Imigresen, perkara ini sepatutnya dilaporkan terus kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ini adalah bidang kuasa SPRM dan lebih relevan melibatkan SPRM dalam proses untuk memastikan pengamatan yang lebih sahih, siasatan yang profesional dan tegas.

5. Selain itu, faktor keselamatan di lapangan terbang harus diberi keutamaan kerana ia adalah pintu masuk utama bagi pengunjung asing yang sah ke Malaysia dan perlu difahami serta ditekankan bahawa keselamatan lapangan terbang tidak boleh dikompromi semata-mata demi memajukan industri pelancongan.

6. MCW berpendapat bahawa Menteri Pelancongan seharusnya tidak campur tangan dalam urusan Pegawai Imigresen. Tugas mereka adalah untuk memeriksa kedatangan pengunjung berdasarkan faktor keselamatan yang tidak boleh dikompromi. Kehadiran Menteri berkenaan di lokasi yang sama sebanyak tiga kali belakangan ini juga amat mencurigakan dan perlu disiasat oleh pihak Polis.

7. MCW juga ingin menegaskan bahawa kawasan tersebut dilindungi oleh Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan (Akta 298) dan amat penting untuk memastikan keselamatan di lokasi tersebut terjamin.

8. MCW berharap agar isu ini dapat ditangani secara bijak dan telus dengan memberi perhatian kepada semua aspek penting terutamanya penilaian terhadap CCTV tempat kejadian dan keperluan penterjemah bahasa di kaunter imigresen perlu diperhalusi. Justeru, MCW ingin menegaskan bahawa pentingnya menjaga integriti dan profesionalisme dalam menjalankan tugas oleh semua pihak yang berkaitan demi menjaga imej negara.

JAIS BIN ABDUL KARIM 
Presiden  
Pemerhati Rasuah Malaysia/ Malaysia Corruption Watch (MCW)

Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: