Tingkat Penguatkuasaan, Bendung Jenayah Alam Sekitar – KDPM Tengku Mahkota Pahang
KUANTAN, 15 Ogos 2024 – Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada semalam menzahirkan ucapan tahniah dan Syabas kepada Pasukan AMLA Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diketuai oleh CP Dato’ Muhammed Hasbullah Bin Ali atas kejayaan menumpaskan kilang haram yang memproses sisa elektronik (e-waste) tanpa lesen khususnya di kawasan Salong, Pekan dan Bukit Ibam, Muadzam Shah.
Dalam titah, Baginda menegaskan agar siasatan terhadap kes tersebut dibuat secara telus dan tanpa kompromi dengan mana-mana pihak.
Baginda turut menzahirkan sokongan penuh agar pihak PDRM mempergiatkan dan meneruskan lagi operasi-operasi membanteras aktiviti haram di Negeri Pahang.
Baginda turut bertitah agar agensi penguatkuasaan yang lain seperti Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang, Jabatan Perhutanan Negeri, Jabatan Alam Sekitar Negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan secara berterusan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan dengan lebih tegas bagi membendung kegiatan jenayah alam sekitar.
Baginda juga bertitah agar semua pihak menjunjung titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang agar menjaga khazanah berharga seperti flora dan fauna serta sumber air di Negeri Pahang.