Antarabangsa

Tindas Muslim Di India, Majlis Perwakilan Bahrain Pertimbang Keluarkan Kenyataan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

BAHRAIN, 10 November 2021 – Ahli Majlis Perwakilan Bahrain, Abdulrazzaq Abdullah al-Hattab dalam ucapan beliau di Mesyuarat Majlis Perwakilan Bahrain baru-baru ini mengusulkan supaya Bahrain mengambil tindakan tegas, termasuk memboikot dagangan dengan India sekiranya kerajaan India tidak menghentikan keganasan terhadap umat Islam terutamanya di Assam, Jammu dan Kashmir.

Dalam mesyuarat ke-5 bagi sesi keempat Majlis Perwakilan Bahrain, Abdulrazzaq menyuarakan kebimbangan Bahrain terhadap situasi di India yang menggugat prinsip kebebasan dan hak asasi umat Islam di sana.

“Kami telah cuba beberapa kali untuk bertemu dengan duta dari India di Bahrain untuk menyampaikan pesanan kami kepada kerajaannya (India), tetapi beliau telah memberikan pelbagai alasan yang tidak munasabah.” Ujar Abdulrazzaq dalam ucapan beliau.

Beliau turut menyeru negara-negara Islam dan badan kemanusiaan untuk menyokong usaha menegakkan hak dan kebebasan umat Islam yang kian tertindas di India.

Usul tersebut telah diterima oleh Majlis Perwakilan Bahrain dan kenyataan rasmi sedang dalam proses untuk diusulkan.

Krisis penindasan terhadap umat Islam di India telah bermula sejak tahun 2016 apabila Parti Bharatiya Janata (BJP) yang dipimpin oleh Narendra Modi memegang tampuk kepimpinan di India.

Penindasan terhadap umat Islam di India masih lagi berlaku hingga ke hari ini. Dalam sebuah laporan oleh al-Jazeera, September tahun ini, Kerajaan India telah menghalau lebih kurang 1,300 keluarga dari rumah mereka di Assam.

Kejadian berdarah yang meragut dua nyawa tersebut berlaku sejurus umat Islam di sana selesai menunaikan sembahyang Jumaat, di mana Mainal Haq, salah seorang korban keganasan kerajaan dipercayai telah ditembak mati oleh polis di sana.

“Polis telah menembaknya (Mainal) di dada. Jurufoto kerajaan telah membelasahnya. Mereka terus-menerus membelasahnya walaupun dia sudah tidak bernyawa.” Menurut Ainuddin, adik kepada mangsa sebagaimana yang dilaporkan media antarabangsa.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: