TINDAKAN PKPD SECARA MENYELURUH KE ATAS KLUSTER KILANG – DPMM
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KENYATAAN AKHBAR
TINDAKAN PKPD SECARA MENYELURUH KE ATAS KLUSTER KILANG
Banyak aduan dari komuniti usahawan akar umbi khususnya terhadap kelangsungan serta kehilangan mata pencarian mereka akibat daripada beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) yang dikenakan sejak 18/3/2020 iaitu lebih setahun yang lalu. Kerajaan telah mengumumkan PKP bagi seluruh negara bermula 12/5/2021 – 7/6/2021 (26hari) yang menetapkan sektor ekonomi dibenarkan untuk terus beroperasi. DPMM menyokong serta memahami keperluan PKP ini bagi menangani penularan COVID-19 ini.
DPMM amat prihatin akan kedudukan serta pertimbangan yang perlu dilakukan demi memastikan penularan wabak ini dapat dibendung dan, pada masa yang sama kehidupan rakyat yang terkesan mata pencariannya turut mendapat pembelaan. Berdasarkan kepada data yang diperolehi daripada Kementerian Kesihatan berkaitan dengan penularan wabak serta kluster maka DPMM mengesyorkan beberapa tindakan berani yang perlu dilakukan oleh Kerajaan pada masa ini seperti berikut:-
1. PKPD BERSASAR ke atas Kilang-Kilang yang menjadi pemangkin/punca penularan COVID-19 bermula 17 Mei 2021 – 17 Jun 2021.
Menurut Statistik Kementerian Kesihatan 48% kes penularan COVID-19 adalah berpunca daripada sektor perkilangan. Maka mereka yang menjadi punca penyebaran/penularan wabak AMAT WAJAR sekali dibendung. Ini dapat dilakukan di mana, semua pekerja asing yang digajikan atau diambil bekerja diletakkan di dalam hotel-hotel bajet yang terdapat di daerah atau tempat asrama pekerja selama tempoh PKPD (26 hari) dilaksanakan. Kos ini hendaklah ditanggung oleh majikan terbabit. Tiada kompromi kerana kegagalan majikan terbabit telah mengakibatkan implikasi yang amat serius yang perlu ditanggung oleh sekalian rakyat Malaysia yang lain.
Sekiranya mana-mana majikan yang membuat kesalahan berulang, maka tempoh penutupan akan dilakukan sekali lagi. Manakala tindakan tegas termasuk denda ke atas kesalahan pelanggaran SOP terhadap majikan kilang berkenaan perlu dikenakan tanpa kompromi demi memastikan kemaslahatan awam dapat dijaga.
2. Operasi/Kerja/Berniaga – MASA KERJA/OPERASI ANJAL diperkenalkan
Berdasarkan cerapan kepada kejayaan pengurusan Jepun, Korea serta China dan Singapura, masa kerja/operasi anjal telah digunakan dalam pengaturan pergerakan masa dan kegiatan harian. Sebagai contohnya pergerakan masuk/pulang kerja boleh ditetapkan daripada jam 7:30 – 8:30, 9:00 – 10:00, 10:30 – 11:30; waktu pulang jam: 16:00 – 17:00, 17:30 -19:30, 20:00 – 21:00. Ini terpakai kepada semua tempat kerja atau tempat berniaga. Ini akan dapat mengelakkan orang berpusu-pusu daripada tempat awam. Operasi berniaga pula dibenarkan pula bermula jam 04:00 – 11:00 atau jam 12:00 – 23:30.
3. MORATORIUM PINJAMAN/SEWAAN/SUBSIDI UPAH 6 Bulan: – 1 Mei – 31 Okt 2021
Semua bentuk pinjaman yang dikawal selia oleh Kementerian Kewangan, Bank Negara, Peminjam Berlesen termasuk Penjualan Secara Kredit termasuk kad kredit dengan tiada caj tambahan mahupun keuntungan atau faedah (riba) dikenakan selama tempoh itu serta segala bentuk bayaran sewaan, lesen perniagaan, lesen PBT diberikan Moratorium selama 6 bulan bermula 1 Mei – 31 Okt 2021.
4. PENYELARASAN SOP ANTARA MKN, MITI, KERAJAAN NEGERI DAN PIHAK BERKUASA TEMPATAN
417 hari telah berlalu, namun ada SOP antara pihak-pihak ini masih gagal diselaraskan. Oleh yang demikian, sudah sampai masanya penyelarasan SOP ini dilaksanakan tanpa sebarang kekeliruan. Pihak Berkuasa Tempatan tidak boleh membuat SOP tambahan tanpa kelulusan Kerajaan Negeri dan MKN.
5. PENETAPAN TEMPOH TINDAKAN MENANGANI KRISIS COVID-19
Disyorkan Tempoh Tindakan Krisis COVD-19 ini ditetapkan sehingga 31/12/2023. Ini membolehkan semua pihak membuat perancangan serta pelaksanaan PKP secara berkala. Kita sudah ada Protokol PKPB dan PKPP maka sewajarnya ianya digunakan secara pro-aktif berbanding dengan secara reaktif sekarang ini.
Oleh yang demikian, sama ada kita suka atau tidak, COVID-19 berada di sekeliling kita. Maka tindakan berani mesti kita ambil bagi mendepani wabak ini. Keadaan tempatan tidak akan sama keadaan di luar negara. Kewajaran kita mencipta dan berani membuat perubahan dalam tindakan kita mengikut acuan kita adalah amat perlu sekali. Kesinambungan kehidupan rakyat yang bergantung hidup dalam eko-sistem kesihatan dan ekonomi wajar diberikan pertimbangan.
Tindakan betul dan tepat serta berkesan hendaklah diambil oleh Kerajaan dan rakyat pada masa ini perlulah diutamakan. Tindakan yang merugikan seperti terikut-ikut dengan protokol atau kaedah atau takut mengusahakan yang baharu perlulah dikikis dan dibuang. Norma Baharu Kehidupan perlu kita harungi walau sepayah atau sepahit manapun. Sekiranya kesihatan rakyat majoriti terjejas, sektor ekonomi akan turut runtuh dan memburukkan lagi keadaan dan tempoh untuk kita kembali ke aras ekonomi sebelum ini akan mengambil masa yang lebih lama dan tanpa kesudahan.
DPMM sentiasa menyokong penuh setiap tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan selama ini namun tindakan Kerajaan hendaklah berani menggalas tanggungjawab ini secara lebih berhemat dan berkesan walaupun terpaksa menanggung kos yang tinggi demi kesejahteraan 33 juta rakyatnya.