TikTok Tetap Cecah 1 Bilion Pengguna Walau Buang Kandungan Palestin
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
NEW YORK, 01 Oktober 2021– TikTok telah berjaya mendapatkan 1 bilion pengguna bulanan yang aktif pada musim panas ini, lonjakan setinggi 45% sejak Julai 2020.
Amerika Syarikat, Eropah, Brazil dan Asia Tenggara adalah merupakan pasaran yang terbesar bagi aplikasi video popular tersebut, menurut kenyataan Tiktok pada Reuters.
TikTok mendapat peningkatan pengguna di serata dunia beberapa tahun kebelakangan ini, walaupun ia mendapat kekangan dan pemantauan ketat di Amerika Syarikat dan di kawasan yang lain.
Tiktok sebelum ini mengumumkan bahawa aplikasi mereka telah mendapat pengguna di seluruh dunia seramai 55 juta orang pada bulan Januari 2018.
Jumlah itu telah meningkat menjadi 271 juta pengguna pada bulan Disember 2018, 508 juta pengguna pada Disember 2019, dan 689 juta pengguna pada Julai 2020.
Pada bulan Ogos 2020, aplikasi TikTok telah pun dimuat turun 2000 juta kali di seluruh dunia.
Platform aplikasi video ini dimiliki oleh ByteDance, gergasi teknologi China yang dikemudi oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya yang berwarganegara Singapura, Shouzi Chew.
Jun lalu, aplikasi ini mendapat kecaman selepas bertindak membuang akaun Agensi Berita di Palestin, Quds News Network (QNN) buat kali ketiga berturut-turut.
Ia berlaku selepas Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz melakukan perjumpaan bersama Pengerusi TikTok dan meminta pihaknya membuang kandungan anti-Israel.
Keadaan ini memaksa sesetengah aktivis menggunakan kreativiti mereka menyampaikan berita mengenai Palestin menggunakan TikTok.