TikTok Dikritik Kaut Keuntungan Daripada Strim Langsung Para Pelarian
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SYRIA, 12 Oktober 2022 – Aplikasi laman sosial TikTok dikritik kerana didakwa mengaut keuntungan menerusi penstriman langsung pelarian Syria di aplikasi tersebut.
Menurut satu laporan, penstriman langsung yang dilakukan oleh keluarga pelarian di kem Syria menerusi aplikasi itu hanya menerima sebahagian kecil daripada jumlah pendapatan manakala pihak syarikat laman sosial tersebut mengaut hingga 70 peratus daripada strim langsung yang disiarkan.
Kata laporan itu, aliran pendapatan bagi strim langsung yang dijalankan mencecah sehingga AS$1,000 (RM 4,673) namun pelarian Syria itu hanya menerima sebahagian kecil daripada itu.
Bukan itu sahaja, terdapat juga “orang tengah TikTok” yang dibantu oleh agensi TikTok di China yang akan membekalkan telefon bimbit dan peralatan kepada keluarga pelarian ini untuk menjalankan strim langsung.
Namun, dakwa laporan itu “orang tengah” ini juga akan mengaut sehingga 35 peratus daripada jumlah pertukaran hadiah digital dan hanya meninggalkan sedikit jumlah buat pelarian Syria ini.
Susulan itu, seorang pempengaruh TikTok yang juga pemain ragbi profesional, Keith Mason menyelar tindakan syarikat tersebut yang disifatkan sangat tamak serta tidak adil buat keluarga pelarian di Syria.
Keluarga pelarian Syria ini memohon dana dengan melakukan penstriman langsung menerusi aplikasi TikTok selama berjam-jam sambil memohon hadiah digital serta nilai wang tunai.