Tiket Balik Kampung Naik Harga Sempena Raya
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 14 April 2022 – Sudahlah harga barang melonjak naik, kini para pengguna terpaksa dibebankan dengan peningkatan harga tiket bas ekspres antara 10 hingga 20 peratus menjelang Hari Raya Aidilfitri ini.
Kadar kenaikan itu akan bermula sepanjang 29 April hingga 8 Mei ini, selaras dengan tempoh sah laku Lesen Perubahan Sementara (LPS).
BACA: Daging Naik Harga Sempena Ramadan
BACA: Harga Tepung Meningkat Sempena Ramadan
BACA: Naikkan Harga Atau Tiga Juta Telur Tiada Ramadhan Ini — Lee Yoon Yeau
Kenaikan harga itu adalah bagi menampung kos insurans bas baharu, selain kos pekerja dan perjalanan, menurut Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali.
“Sebanyak 4,700 bas ekspres akan beroperasi sepanjang tempoh tersebut membawa 141,000 penumpang ke destinasi seluruh negara,” katanya sepertimana yang dilaporkan Utusan.
Pihak PMBOA juga tidak bercadang untuk menambah kuantiti bas pada Aidilfitri ini, menurut beliau lagi.
“Disebabkan terdapat jangkaan bahawa permintaan tiket bas meningkat dan dikhuatiri menambah potensi risiko jangkitan COVID-19, saya ingin berpesan kepada penumpang supaya hadir 30 minit awal bagi memastikan pematuhan SOP.”
“Untuk kita tambah kuantiti bas, penumpang perlu melakukan tempahan bas dua minggu lebih awal dari hari perayaan supaya kami dapat menyediakan lebih banyak bas.”
Kamarudin Husin, Ketua Aktivis Pengangkutan Awam Darat berkongsi sambutan baik beliau bagi kenaikan harga tiket bas ekspres ini, dan beliau juga berharap agar masyarakat turut berkongsi pandangan yang sama.
“Kalau kerajaan sudah menaikkan kadar tambang, saya rasa itu adalah satu pendekatan baik dari mereka sebab kita tengok hari ini alat ganti dan pelbagai barangan lain untuk melancarkan perjalanan meningkat dengan drastik.”
“Jadi kenaikan tersebut secara tidak langsung boleh menampung kos operasi syarikat-syarikat bas ekspres.”
Beberapa hari yang lalu, ramai pengguna mengeluh tentang kenaikan harga tiket kapal terbang yang tinggi menjelang perayaan Aidilfitri ini, yang amat membebankan bagi mereka, terutamanya bagi mereka yang mahu pulang beraya di Sabah dan Sarawak.
“Ada yang datang daripada kalangan B40 ingin balik raya namun disebabkan harga tiket melonjak naik, pelajar macam saya membatalkan hasrat untuk pulang raya di kampung halaman,” ujar Lily Surianti, pelajar Universiti Selangor (UniSEL).