Surat Pembaca

‘Tiger Pod’ Sebuah Ancaman Bentuk Baharu?

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Bahaya! Ancaman bahaya dalam negara kita sekarang bukan sahaja menjurus kepada pencerobohan sempadan, geng kongsi gelap, pencuri, penyangak dan sebagainya. Malah, ancaman bahaya sekarang banyak melebar kepada pemikiran manusia melalui teknik-teknik yang halus, seperti mempengaruhi pemikiran seseorang tanpa ia sedar. Pemikiran kita diasuh, dicucuk dan dipengaruhi oleh anasir-anasir yang tidak sepatutnya dalam bentuk yang kita kurang sedar akan keburukannya.

Mana pernah kita sangka sebelum ini, vape atau rokok elektronik mampu menyerupai permainan kanak-kanak atau ‘Tiger Pod’, hakikatnya kini ia semakin berleluasa. Ia contoh terbaharu bagaimana ancaman bahaya sudah menjenggah ke dinamika yang lebih berbeza dan bersifat kreatif.

Cukup bahaya apabila kanak-kanak atau remaja tertarik dengan ‘Tiger Pod’ yang disangkakan sebuah permainan atau koleksi peribadi, sebaliknya ia merupakan vape yang akan memudaratkan kesihatan kanak-kanak jika mereka menghisapnya.

Maaf kepada kawan-kawan peminat vape. Namun, apakah motif sebenar bentuk vape dicipta sedemikian rupa? Siapa yang cuba kita pengaruhi? Adakah mahu menarik minat peminat vape yang rata-rata skala umur mereka sekitar 20 tahun hingga 40 tahun? Atau ada usaha untuk membawa vape ini ke pasaran lebih besar bagi mereka yang berumur kurang dari 18 tahun? Terutama anak-anak kita di bangku sekolah?

Jika benar ada ‘usaha menghasut’ para pelajar sekolah untuk menghisap vape secara berleluasa dan besar-besaran, maka inilah yang dikatakan ancaman bahaya dalam bentuk baru bagi masyarakat di negara kita.

Pikul tanggungjawab banteras

Cabaran ini bukan sahaja dipikul oleh agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, sebaliknya ia harus dipandang serius oleh komuniti setempat agar legasi kita di masa hadapan tidak rosak dek kerana perkara-perkara sebegini yang tidak dipandang serius oleh sesetengah pihak.

Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG), JKKKP, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Jawatankuasa Masjid dan surau, persatuan penduduk dan Rakan Cop antara pihak yang wajar berganding bahu dalam isu ini.

Untuk melengkapkan lagi usaha membanteras, syarikat-syarikat korporat seperti e-Hailing, syarikat jualan langsung, pengeluar produk berasaskan kesihatan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan bukan kerajaan (NGO) dan badan-badan politik tempatan perlu memberi sumbangan dalam mencegah para pelajar sekolah dari membeli dan menghisap vape.

Pada masa sama, pasukan penguatkuasaan harus bertindak lebih licik dan bersepadu agar negara kita dapat membanteras ancaman bahaya dalam bentuk baharu seperti ini. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah pasti harus bekerjasama erat dengan Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan agensi-agensi kerajaan negeri untuk cuci kembali usaha-usaha pihak tertentu mempengaruhi mereka di bawah umur untuk membeli vape, rokok dan yang seangkatan dengannya, yang hanya bermotifkan keuntungan semata-mata.

Peruntukan undang-undang

Tiada alasan bahawa para pelajar ini membeli vape ‘Tiger Pod’ di luar kawasan sekolah dan ia di luar bidang kuasa pihak sekolah. Untuk membanteras ancaman bahaya kepada generasi pewaris kita ini, kaedah penguatkuasaan undang-undang sedia ada dari pihak Kerajaan harus licik dan kreatif. Asalkan ia masih di dalam lingkup penguasaan dan tidak terkeluar dari mana-mana peruntukan akta.

Apatah lagi kandungan di dalam cecair rokok elektronik tersebut mengandungi nikotin, yang semestinya penjualan barang dan produk tersebut adalah dikawal di bawah Akta Racun 1952.

Juga, harus diingat bahawa pengedaran dan pembekalan sebarang persediaan mengandungi nikotin memerlukan pendaftaran dan kelulusan sebagai ubat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Akta Jualan Dadah 1952.

Walaupun di bawah Akta Racun 1952 tidak mempunyai peruntukan terhadap larangan aktiviti promosi dan pengiklanan vape, namun kita bernasib baik apabila peruntukan itu sudah dimasukkan di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok, bertujuan mengawal selia penghasilan produk itu.

Pokok pangkalnya di sini, kita semua perlu membanteras apa saja bentuk ancaman baharu dalam masyarakat agar pemikiran, akhlak dan daya tahan kendiri penghuni tanah tercinta ini tidak akan rosak di masa akan datang.

Tepuk dada tanya akal, adakah kita sayangkan keuntungan dari peniagaan sebegini, atau kita sayangkan legasi yang bakal kita tinggalkan bagi mewarisi tanah bertuah bernama Malaysia?

Sarfarizmal Saad

Penulis ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA) dan Ahli Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Bangi.

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my*

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: