Tempatan

Tiga Faktor Yang Menyebabkan Bahasa Malaysia Bersifat Dayus – Dr Iskandar Hasan Tan Bin Abdullah

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 02 Mei 2022 – “Penentangan ke atas perlaksanaan penggunaan Bahasa Malaysia sebagai medium rasmi dalam setiap urusan kerajaan dan bahasa harian sudah lama berlaku,” ujar Dr Iskandar Hasan Tan Bin Abdullah.

Menurutnya, penentangan ini wujud kerana 3 faktor yang menyebabkan Bahasa Malaysia bersifat dayus walaupun sudah diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pertama, rata-rata mengatakan Bahasa Malaysia tidak sehebat dengan bahasa-bahasa lain kerana terdapat kekurangan penggunaannya dalam bidang sosioekonomi dan pendidikan.

“Ini disebabkan sebahagian golongan yang memang dalam kewujudan aliran vernakular sebelum negara ini merdeka akan terasa terancam jika penggunaan Bahasa Malaysia menjadi bahasa yang lebih gah daripada penggunaan bahasa-bahasa dalam aliran vernakular,” katanya.

Tambah pensyarah UiTM ini lagi, ancaman ini boleh menyebabkan juga terhakisnya kelangsungan hidup aliran vernakular.

Maka dengan itu, penuturan Bahasa Malaysia perlu dipinggirkan kewujudannya secara objektif dalam bidang sosioekonomi dan pendidikan.

Akhirnya, penutur Bahasa Malaysia hanya digunakan sekadar bahasa pasar yang telah dirojakkan sehingga kualiti Bahasa Malaysia semakin lama semakin hilang taringnya.

“Kejayaan meminggirkan penuturan Bahasa Malaysia merupakan langkah pertama dalam menghilangkan identiti nilai jati negara ini untuk menjadi sebuah negara nilai jati diri bercampur aduk di atas nama masyarakat multiracial,” tegasnya.

Beliau berkata, yang kedua, sebahagian golongan Melayu yang berpendidikan Barat yang lebih selesa dengan penuturan Bahasa Inggeris dengan gaya kehidupan ala neo Baratisma dalam kehidupan masyarakat Melayu moden.

Jelasnya, sebahagian golongan ini menganggap jika penuturan Bahasa Malaysia diperkasakan dan dijadikan sebagai salah satu medium utama bahasa komunikasi dalam erti kata masyarakat Melayu moden. Maka gaya kehidupan ala neo Baratisma akan terhakis.

Ujarnya, ini disebabkan Bahasa Malaysia dengan cara tersendiri akan cuba mengekalkan nilai-nilai budaya tradisi kehidupan Melayu dan Islam.

Maka, ini akan mewujudkan kongkongan kebebasan nilai hidup yang lebih liberal dan terbuka berbanding penuturan penggunaan Bahasa Malaysia yang mengongkong nilai konservatif dan ortodoks Islam.

Beliau berkata, situasi ini bertentangan dengan kehendak kehidupan bagi sebahagian golongan yang berpendidikan Barat.

“Ibarat bahasa adalah lambang budaya kehidupan sesuatu identiti kehidupan bermasyarakat,” katanya.

Dr Iskandar Tan menerangkan perkara ketiga, iaitu sebahagian golongan Melayu yang berpendidikan bukan kebangsaan dan selesa dengan kehidupan ala bukan Melayu merasakan Bahasa Malaysia adalah bahasa kampung yang mencerminkan nilai kemunduran dalam kehidupan bermasyarakat kota.

Justeru, sebahagian golongan ini seringkali mengatakan bahawa bahasa-bahasa lain selain Bahasa Malaysia adalah lebih maju dan diterima kerana bersifat fleksibel dan terbuka sejajar dengan nilai amalan kehidupan mereka.

“Ini boleh difahami bahawa bahasa mencerminkan nilai diri seseorang terutama dari segi perwatakan dan pekerjaan.”

Menurut beliau lagi, bagi sebahagian golongan elit Melayu ini yang berperwatakan terbuka, cenderung memilih penuturan campuran antara Bahasa Malaysia dengan bahasa lain agar kurang dilihat seorang yang tertutup perwatakan dan mundur pemikiran.

Implikasinya, Bahasa Malaysia semakin kurang pemerkasaan bukan sahaja dalam bidang sosioekonomi tetapi juga berkehidupan dalam masyarakat golongan elit dan teknologis.

Maka, inilah penghakisan peranan untuk mengembangkan penuturan Bahasa Malaysia berlaku di atas tiga faktor tersebut.

Menurut Dr Iskandar Tan, hal ini merupakan punca menyemarakkan penentangan ke atas penggunaan Bahasa Malaysia secara tanpa disedari sejak berdekad-dekad.

Justeru, tidak menghairankan Bahasa Malaysia yang melahirkan jiwa Malaysia secara tidak langsung kini dipengaruhi oleh perluasan globalisasi yang menekankan kepada budaya meng-Amerikakan nilai kehidupan sejagat.

“Jadi Bahasa Malaysia kini tidak lagi menggambarkan nilai sebuah bahasa. Tetapi hanya sekadar sekelumit dalam bahasa globalisasi yang berteraskan Bahasa peng-Amerika-an atau pembaratan,” tegasnya.

Kesannya, ini membawa kepada jatuhnya martabat sebuah nilai bahasa bangsa yang terpaksa tunduk kepada penggunaan perkataan dan ayat meng-Amerika-kan Bahasa Malaysia.

Beliau menegaskan kecurangan inilah yang menjadikan penentangan ke atas Bahasa Malaysia semakin kuat dan tersusun sehingga menyukarkan perlaksanaan penggunaan penuturan Bahasa Malaysia sama ada dalam urusan rasmi atau tidak.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: