Tidak Perlu Ubah Kontrak Sosial, Perlembagaan Dan Rukunegara Sudah Cukup – Chandra Muzaffar
KUALA LUMPUR – Chandra Muzaffar, seorang ahli Sains Politik tidak bersetuju dengan cadangan bekas Pengerusi CIMB, Datuk Seri Nazir Razak yang mahu mengolah semula kontrak sosial dan menubuhkan semula Majlis Perundingan Kebangsaan (NCC) yang baru demi masa depan yang lebih cerah.
“Tiada keperluan untuk menubuhkan Majlis Perundingan Kebangsaan (NCC) yang baru untuk mengatur perjalanan negara melalui kontrak sosial baharu.” ujar mereka seperti dilaporkan dalam portal FMT.
Bagi Chandra Muzaffar, perjalanan negara sudah cukup dengan berpegang kepada dua dokumen paling asas iaitu Perlembagaan Persekutuan dan Rukunegara.
“Perlembagaan Persekutuan dan Rukunegara adalah dokumen yang sangat baik yang menyediakan “tapak” untuk memperkukuhkan perpaduan antara rakyat dan mengatasi cabaran-cabaran besar.”
Ini kerana Perlembagaan Persekutuan sudah cukup seimbang dari segi mengiktiraf hak, kebebasan beragama, aspirasi dan sebagainya.
“Walaupun Islam adalah agama rasmi persekutuan di bawah Perlembagaan, kebebasan beragama untuk agama lain juga dijamin. Jadi ada keseimbangan yang realistik dan berdasarkan realiti masyarakat kita.”
Tambah aktivis sosial itu, Rukunegara telah menggariskan lima prinsip aspirasi asas utama yang perlu ditekankan iaitu mencapai perpaduan, memelihara cara hidup berdemokrasi dan membangunkan masyarakat yang progresif.
“Ia adalah dokumen berpandangan jauh yang membincangkan cita-cita universal, masyarakat yang adil dan berdemokrasi. Pada masa sama, ia mengiktiraf perkara-perkara yang menjadi sebahagian daripada nusa bangsa, seperti kedudukan Raja di negara kita. ”
Nazir Razak sebelum ini dilaporkan pernah memberi cadangan untuk mengubah semula ‘kontrak sosial tersirat’ Malaysia dan menubuhkan semula Majlis Perundingan Kebangsaan (NCC) yang menyatukan pemimpin mengikut bidang masing-masing dalam membentuk jalan baru buat Malaysia.
Mengakui kerajaan sekarang kurang kemahuan politik untuk menubuhkan NCC, Nazir mengatakan bahawa NCC boleh sahaja ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja.