Tempatan

Tiba Masa Tubuh Lembaga Unggas Negara – MTEM

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KHAMIS, 26 Mei 2022 – Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Abdul Halim Husin, menggesa supaya Lembaga Unggas Negara perlu ditubuhkan untuk mengimbangi keperluan pengguna dan pengusaha atau pengeluar ayam dan telur, yang kecil dan yang besar. Ia bagi memastikan tiada pemegang taruh di kalangan pengusaha penternakan ayam dan telur berskala kecil yang terdiri dari kalangan orang Melayu dan Bumiputera tidak dipinggirkan.

Cadangan penubuhan Lembaga Unggas Negara tersebut dibuat dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan MTEM sebagai menyahut dan menyokong penuh ketetapan kabinet yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri dalam menangani isu kekurangan atau kos bekalan ayam dan makanan negara.

“Kita ada Bank Negara untuk kawal selia Institusi Kewangan seperti bank. Kita juga ada Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk kawal selia syarikat-syarikat korporat. Tapi anehnya kita tidak ada satu lembaga yang akan mengawal selia industri makanan dengan berkesan. Malah industri nenas yang bukan makanan utama kita pun ada lembaga untuk mengawal selia,” tambah Abdul Halim dalam kenyataan rasmi MTEM tersebut.

Pengerusi MTEM tersebut turut menyatakan, Lembaga Unggas yang dicadangkan ini juga boleh memastikan harga ayam yang sepatutnya tanpa meletakkan harga siling apabila ia dapat mengimbangi jumlah bilangan ayam import, bilangan keluaran berskala kecil dan bilangan keluaran yang berskala besar.

“Ini akan memastikan industri dapat bertahan dan rakyat tidak tertekan dengan permainan nakal orang tengah. Pasaran tidak lagi dikawal oleh kartel,” tegas Abdul Halim.

Leave a Reply

Back to top button