Tempatan

Tiada Rancangan Laksana Semula PKP, Rakyat Diseru Tingkat Waspada

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 19 Disember 2023 – “Malaysia kini sedang menghadapi peningkatan kes COVID-19 yang mendadak. KKM berharap agar situasi ini dapat dilalui tanpa perlu mengulangi sekatan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlaku pada awal pandemik COVID-19,” kata Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad.

Beliau dalam satu kenyataan akhbar semalam berkata, dari 10 Disember 2023 hingga 16 Disember 2023 setakat jam 12 tengah hari, sebanyak 20,696 kes direkodkan iaitu sebanyak 20,677 kes adalah kes tempatan, manakala 19 kes merupakan kes import.

Bagi menghadapi lonjakan kes COVID-19 ketika ini, beliau berkata pihak KKM telah memperkukuhkan Pelan Pengurusan COVID-19 melalui lima strategi utama iaitu pengesanan awal kes COVID-19 dan varian SARS-CoV-2 melalui Sistem Amaran Awal (Heightened Alert System-HAS), survelan komuniti di lokasi sentinel seluruh negara iaitu survelan kes Influenza-like-illness (ILI), survelan di hospital melalui survelan kes Severe Acute Respiratory Infections (SARI) dan survelan persekitaran air kumbahan dalam komuniti dan Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) KLIA.

Selain itu, KKM turut memperkasakan komuniti melalui amalan TRIIS di samping turut melakukan pemantauan fasiliti kesihatan, pengurusan dan kawalan kes COVID-19 terutamanya untuk melindungi golongan berisiko tinggi.

Dalam kenyataan sama, kata beliau KKM juga akan memperkasakan komuniti melalui komunikasi risiko yang berkesan iaitu perkongsian data melalui media massa termasuk kenyataan akhbar, Github, KKMNow serta Hebahan Pendidikan Kesihatan secara berkala.

Malah, KKM juga akan menggerakkan inisiatif Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di semua peringkat.

Seterusnya, pendigitalan sistem kesihatan dalam pengurusan pandemik melalui aplikasi MySejahtera juga merupakan antara strategi bagi mengukuhkan Pelan Pengurusan COVID-19.

Sehubungan itu, di samping melaksanakan strategi-strategi tersebut, pihak KKM turut menyarankan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti mengelakkan 3S iaitu mengelakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat serta mengamalkan 3W (Wash, Wear dan Warn).

Orang ramai turut dinasihatkan agar memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup serta membuat penilaian kendiri tahap kesihatan.

“Secara keseluruhan, walaupun terdapat peningkatan kes COVID-19 yang dilaporkan, keadaan semasa di Malaysia masih dalam keadaan terkawal dan tidak membebankan fasiliti Kesihatan sedia ada.”

“Kementerian Kesihatan Malaysia akan terus memantau situasi COVID-19 dan varian berkaitan di dalam dan luar negara,” jelas beliau.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: