Tempatan

Terkandas Di Madinah, Pengikut Tarekat Naqsyabandiah Al-Kholidiah Akan Jalani Kaunseling

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 08 November 2022 – 63 jemaah umrah yang merupakan pengikut ajaran Tarekat Naqsyabandiah Al-Kholidiah yang terkandas di Madinah akan menjalani sesi pemulihan dan kaunseling oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) bagi memulihkan akidah mereka.

“Bagi pengikut ajaran ini yang sudah dibawa pulang, mereka akan diuruskan oleh Majlis Keselamatan Negara dan turut menjalani sesi kaunseling dan pemulihan oleh MAIN masing-masing,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Ujarnya, pihaknya turut mendapat kerjasama daripada MAIN bagi membantu pembiayaan kos penerbangan pulang.

Setakat ini, 36 jemaah berjaya dibawa pulang pada awal November baru-baru ini.

Kata Datuk Idris Ahmad lagi, Kementerian Luar (KLN) kini sedang menguruskan baki 27 daripada 63 pengikut ajaran itu secara beransur-ansur.

“Kita jangkakan kesemua baki kumpulan itu akan dibawa balik sebelum hujung tahun ini berdasarkan kekosongan penerbangan.”

“Urusan akan dikendalikan sepenuhnya oleh KLN yang turut berkolaborasi dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).”

Media sebelum ini melaporkan bahawa 63 orang dibawa ke Madinah oleh kumpulan Tarekat Naqsyabandiah Al-Kholidiah untuk mengerjakan ibadah umrah pada Mac lalu, namun hanya berada di Madinah dan tidak dibawa ke Mekah untuk menyempurnakan ibadah berkenaan.

Pemimpin kumpulan itu, Habib Shah Firdaus Habib Ahmad dikatakan menyeleweng daripada hukum syarak termasuk mempercayai akan berlaku kemunculan Imam Mahdi pada hari Arafah lalu.

Habib Shah juga turut melakukan tiga kali sujud ketika solat dengan sujud terakhir mengucup sejadah.

Susulan pelanggaran undang-undang tempatan, ketua kumpulan tarekat terbabit diusir keluar oleh kerajaan Arab Saudi pada 20 Ogos lalu.

Keadaan itu menyebabkan 63 jemaah berkenaan terpaksa tinggal di Masjid Nabawi, Madinah dan mengharap ehsan orang ramai yang memberi bantuan wang dan makanan untuk menyara hidup selepas terkandas lebih tiga bulan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: