Tiada Penghinaan Pada Perkataan Kafir
1. Orang bukan Islam tidak perlu berasa hati atau rasa hina dengan perkataan kafir kerana perkataan itu tidak membawa sebarang maksud penghinaan.
2. Perkataan kafir adalah perkataan Arab berasal dari kata “kafara” . Jika dirujuk kepada beberapa kamus atau kitab rujukan bahasa Arab seperti kitab Maqayis al Lughah ibnu Faris, al Mufradaat mahupun syarah al Bukhari Ibnu Battal, perkataan al kufr membawa maksud menutupi sesuatu .
3. Orang Islam yang tidak menghargai nikmat Allah seperti “menutupi” nikmat itu daripada disyukuri juga disebut sebagai kufur nikmat.
4. Dari sudut bahasa Arab, petani juga dipanggil kafir kerana dalam kerjaya sebagai petani, mereka menutupi benih dengan Tanah ketika bercucuk tanam.
5. Orang yang masih belum membuka hatinya dan masih kekal menutupi sanubarinya untuk menerima Islam sebagai agama, mengesakan Allah, mengimani Nabi Muhammad SAW sebagai rasul terakhir maka dinamakan kafir.
Adapun perkataan yang berlawanan dengan kafir adalah Muslim yang membawa maksud orang yang menyerah diri dengan membuka hatinya untuk menerima ajaran Islam.
6. Perkataan kafir itu sendiri sesekali tidak membawa maksud penghinaan yang perlu ditakuti.
7. Bahkan di dalam al Quran sendiri ada surah khas yang dinamakan sebagai surah “al kafiruun” . Surah ini sangat mudah difahami. Orang Islam dan bukan Islam boleh terus memahaminya walaupun hanya membaca terjemahannya.
8. Saya bawakan terjemahannya seperti di bawah.
Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir. “Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. “Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. “Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. “Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”.
9. Sangat jelas mesej surah ini dan ia sangat realistik apa yang berlaku hari ini.
10. Akhir surah ini menggambarkan toleransi hebat Islam apabila berinteraksi dengan orang bukan Islam atau kafir apabila mereka memilih jalan untuk tidak bermusuh atau memerangi Islam dan hidup berdamai.
11. Bahkan ayat 8 dan 9 surah al mumtahanah (surah yang ke 60) secara jelas interaksi yang Wajib ditaati oleh umat Islam apabila berinteraksi dengan orang kafir. Saya bawakan terjemahannya.
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil
Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”
12. Kesimpulannya perkataan kafir itu adalah istilah al Quran yang tidak mengandungi apa-apa maksud penghinaan bahkan satu istilah pengenalan bagi golongan yang masih menutup hatinya menerima Islam bahkan Islam tidak pernah memaksa untuk membuka hati menerima Islam secara kekerasan.
13. Adapun kesudahan orang kafir selepas mati, itu adalah kepercayaan umat Islam dan juga tidak mampu dipaksa untuk dipercayai oleh orang kafir sebagaimana kepercayaan agama lain yang tidak boleh dipaksa orang Islam mempercayainya.
Dato Zamri bin Hashim
Pengerusi Majlis Ulama ISMA.
9 Rabiul Akhir 1445
24 Oktober 2023.
Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my