Tempatan

Tiada Pangkalan Data Punca Kekurangan Guru Di Seluruh Negara

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PETALING JAYA, 24 Oktober 2023 – Kekurangan guru bagi empat subjek kritikal berpunca kerana tiada pangkalan data untuk melihat keperluan antara pelapis guru dan graduan universiti bagi mengisi kekosongan pada masa akan datang, dedah Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP).

Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon berkata masalah itu menyebabkan berlaku ketidakseimbangan antara subjek tertentu apabila kerajaan pada satu masa dilihat memfokuskan pengambilan pengajar bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) sehingga gagal mengambil kira aspek keperluan guru subjek kritikal.

Empat subjek tersebut ialah Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Rekabentuk dan Teknologi serta Pendidikan Islam yang juga mata pelajaran teras.

“Masalah utama kita tiada data unjuran terhadap keperluan guru subjek itu bagi menampung kekosongan yang bakal ditinggalkan kerana bersara dan berpindah ke bahagian lain dalam kementerian atau jabatan pendidikan negeri mahupun meninggal dunia.”

“Kita patut ada data seperti ini, misalnya tiga tahun lagi, 500 guru Bahasa Melayu bakal bersara. Jadi untuk persediaan, maka, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi perlu menyiapkan pengambilan graduan untuk mengisi kekosongan tersebut,” katanya.

Jelasnya, kekurangan warga pendidikan khususnya subjek kritikal seperti Bahasa Melayu dan Inggeris serta Pendidikan Islam boleh memberi kesan dan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) apabila beban guru bertambah.

“Ia tidak termasuk jika guru cuti bersalin, kena hadir kursus dan sambung belajar hingga menyebabkan ada sekolah yang pernah mengalami kekurangan sehingga 10 guru pada satu masa, sekali gus bebanan kekosongan itu terpaksa ditanggung oleh tenaga pengajar lain.”

“Jadi berlaku bebanan dan tekanan, maka ia menyumbang kepada masalah guru terpaksa bersara awal kerana tidak mampu menanggung tugas tambahan,” luahnya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: