Antarabangsa

Tiada Pakar Perubatan Sahkan Nagaenthran Cacat Mental – Aidil Khalid

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 28 April 2022 – Aidil Khalid, peguam, baru-baru ini melalui sebuah ciapan menjelaskan bahawa Nagaenthran tidak disahkan oleh pakar sebagai seorang yang cacat mental, sekaligus mendorong mahkamah untuk menolak rayuannya dan menjatuhkan hukuman mati ke atasnya.

“Setelah disabitkan kesalahan dan menunggu hukuman, Nagaenthran sebenarnya telah dibawa berjumpa 2 orang ahli psikiatri dan 1 orang ahli psikologi.”

“Tiada seorang pun antara mereka yang mendapati dia menghidap sebarang kecacatan mental, hatta kecacatan intelektual ringan pun,” jelasnya.

Tambahnya lagi, Nagaenthran sebenarnya dikatakan mempunyai masalah Borderline Intellectual Functioning (BIF) atau ‘Fungsi Intelektual Sempadan’.

Ianya adalah sebuah kondisi di mana keupayaan intelektual seseorang itu dikira rendah berbanding orang kebanyakan, namun tidak sehingga dikira mempunyai kecacatan mental.

Aidil merujuk kepada laporan keputusan penghakiman oleh Mahkamah Rayuan Singapura, di mana dokumen tersebut menunjukkan bahawa ketiga-tiga orang pakar tersebut tidak mengesahkan sebarang kecacatan mental pada Nagaenthran.

Sebaliknya, doktor psikiatri yang mengendalikan Nagaenthran menyatakan bahawa Nagaenthran hanya mempunyai masalah BIF, dan BIF tidak cukup untuk dikira sebagai sebuah kecacatan mental menurut piawaian American Psychiatric Association.

Tambah Aidil lagi, pakar ketiga, Dr Patricia Yap menyatakan bahawa masalah mental yang dihidapi Nagaenthran mungkin mempengaruhi kebolehannya untuk menganggarkan risiko perbuatannya, tetapi Nagaenthran tahu apa yang dilakukannya itu adalah salah dan boleh dihukum.

Namun, Aidil turut menjelaskan bahawa penjelasan beliau ini bukanlah untuk menyokong hukuman yang dijalankan ke atas Nagaenthran, tetapi sekadar untuk menjelaskan hal yang sebenar.

“(Penjelasan) ini bukanlah untuk menyokong hukuman mati yang dilakukan ke atas Nagaenthran dan bukanlah sebagai sebuah kritikan ke atasnya. Ia sekadar untuk memperbetulkan pemahaman,” ujarnya.

Pada 27 April semalam, penantian hampir 12 tahun Nagaenthran di dalam tahanan berakhir dengan air mata apabila hukuman mati dilaksanakan ke atasnya.

Nagaenthran ditahan pada April 2009 dengan dadah jenis heroin seberat 42.72-gram ketika hendak memasuki Singapura.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: