Politik

Tiada Masalah Dengan PAS, Cuma Kecewa Dengan Sanusi – MIC

SHAH ALAM – Bekas Setiausaha Agung MIC, Senator Datuk Seri S Vell Paari menegaskan, parti itu secara amnya tidak mempunyai masalah dengan PAS.

Apa yang mengecewakan mereka adalah sikap Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang dilihat angkuh dan membuli masyarakat India seperti tindakannya yang membatalkan cuti Thaipusam di Kedah baru-baru ini.

“Malangnya, di zaman Muhammad Sanusi menjadi Menteri Besar, terdapat kes-kes masyarakat minoriti di Kedah terutama masyarakat India dibuli dan dihina oleh beliau.”

Menurutnya, tindakan Menteri Besar Kedah itu seperti mensabotaj dan memusnahkan kerjasama antara MIC dan Pas seperti yang diharapkan oleh Presiden Pas sendiri.

“Tindakan beliau ini jauh menyimpang dari ajaran Tuan Guru Nik Aziz (bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat) yang sentiasa mengamalkan sikap toleransi antara kaum dan agama.”

Tambah Penasihat Putera Puteri MIC itu lagi, keadaan ini berbeza sewaktu Kedah di bawah pimpinan almarhum Tan Sri Azizan Abdul Razak di mana, masyarakat India di negeri itu tidak mempunyai masalah dan tidak ada sebarang rungutan terhadap kerajaan PAS di negeri terbabit.

“Saya akui, kadangkala terdapat perbezaan pendapat antara masyarakat dengan pimpinan kerajaan negeri, tetapi selalunya masalah ini dapat diselesaikan dengan baik antara kedua-dua belah pihak.”

Susulan tindakan Muhammad Sanusi membatalkan cuti umum Thaipusam, ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menggesa MIC dan MCA mendesak Majlis Presiden PN untuk mengecam dan memaksa Sanusi menarik semula pembatalan itu. Jika PN gagal, maka kempen memboikot PAS perlu dilancarkan di seluruh negara. 

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button