Tiada Kompromi Kesalahan Tukar Label Beras
PUTRAJAYA, 18 Ogos 2023 – Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengilang, pemborong dan peruncit yang melakukan penyelewengan ke atas penjualan beras dengan menukar label beras putih tempatan (BPT) kepada beras putih import (BPI).
Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak didapati membuat kesalahan memalsukan gred beras di bawah Seksyen 21 Akta Kawalselia Padi dan Beras (Akta 522).
“Bagi kesalahan individu, mereka boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM25,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tempoh dua tahun atau kedua-duanya, manakala syarikat pula boleh didenda sehingga RM50,000.”
BACA JUGA: Jalan Utama di Melaka Ditutup 6 Jam Mulai Sabtu Ini
BACA JUGA: Isu Pesta Songkran: Akui Kesilapan, Nama Program Ditukar Kepada Pesta Air
BACA JUGA: Varian Baharu COVID-19: Jemaah Umrah Digalakkan Pakai Pelitup Muka Di Dua Masjid Suci
Jelasnya, penguatkuasaan undang-undang berkaitan padi dan beras dilaksanakan oleh Kawalselia Padi dan Beras (KPB) selain KPKM di bawah Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994 (Akta 522).
“KPKM melalui KPB berkolaborasi secara strategik bersama Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui OP JAMIN yang dilancarkan pada 7 Julai lalu.”
“Sehingga 10 Ogos lalu, sebanyak 925 pemeriksaan dilaksanakan secara bersama-sama antara KPKM dan KPDN di seluruh negara bagi memastikan kestabilan bekalan BPT sentiasa terjamin.”
Tambahnya, KPKM juga akan melaksanakan Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT) yang dilaksanakan mulai Rabu dengan memberi fokus pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas kilang padi (komersial) dan pemborong beras.
“Ini bagi memastikan keseluruhan rantaian bekalan pengedaran beras di semua peringkat mematuhi peraturan dan perundangan sedia ada,” kata kementerian itu.