Tiada Insiden Panik Hari Raya Mengejut Tahun Ini – Pakar Falak
PUTRAJAYA, 06 April 2023 – Pengumuman raya Aidilfitri tahun ini dijangka tidak akan menimbulkan suasana panik seperti tahun lalu, kerana, anak bulan Syawal tiba-tiba kelihatan kemungkinan besar tidak terjadi pada kali ini.
Menurut pakar falak terkenal tanah air, Hanafiah Abdul Razak, cahaya hilal tersebut juga dijangka sukar untuk dicerap kerana kedudukan jasad terlalu dekat dengan matahari.
BACA JUGA: Permohonan Peguam MAIPs Mohon Hakim Kes Loh Siew Hong Undur Diri Didengar 19 April
BACA JUGA: 5.76 Tan Metrik Sisa Meningkat Dalam Bulan Ramadan
BACA JUGA: Suara Desak Hapuskan Hukuman Mati Pandangan Ekstrem
“Berdasarkan pengalaman saya sendiri dan kiraan kebolehnampakan dengan mata kasar, anak bulan Syawal 1444 Hijrah agak sukar untuk dilihat jelas,” katanya yang juga antara anggota panel falak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Tambahnya lagi, penilaian data secara terperinci turut dilakukan beliau berdasarkan hisab atau kiraan di titik paling barat di Malaysia iaitu Pulau Perak di Yan, Kedah.
“Pada hari rukyah 29 Ramadan atau 20 April kelak, anak bulan Syawal dijangka al-ijtima’ atau lahir pukul 12.16 tengah hari ketika berlaku gerhana matahari separa.”
“Fenomena itu dijangka akan berlaku mulai pukul 11.04 pagi dan berakhir 12.44 tengah hari dengan bulan dilihat bakal berada di sebelah kanan matahari.”
“Seterusnya, bulan dijangka terbenam pukul 7.43 petang dan berada di ufuk atau kaki langit arah barat selama 12 minit daripada waktu matahari terbenam pukul 7.31 petang,” ulasnya.
Hilal pula katanya, akan muncul 10 minit selepas terbenam matahari pada kebiasaannya dan situasi itu akan menyebabkan cuma ada baki dua minit sebagai masa terbaik cerapan jasad anak bulan.
Sehubungan itu, berdasarkan hisab di Pulau Perak, altitud atau ketinggian bulan daripada matahari ialah dua darjah dua minit dan elongasi atau jarak lengkung dua darjah 15 minit.
Dua kiraan itu jelasnya, menunjukkan hilal Syawal gagal memenuhi kriteria imkanur rukyah yang ditetapkan JAKIM pada tahun 2021 lalu kerana kedudukan darjahnya terlalu kurang.
“Apatah lagi menurut disiplin ilmu falak turath Islam, kedudukan jarak lengkung agak dekat menjadikan sukar pasukan pencerapan melihat cahaya dari jasad anak bulan,” jelasnya.
Oleh itu ujar beliau, hilal secara hisab dianggap tidak kelihatan pada tarikh tersebut dan umat Islam akan berpuasa sehari lagi keesokan sebelum dapat berhari raya pada lusa.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa penetapan tarikh 1 Syawal tertakluk kepada pengisytiharan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 20 April depan.