Tempatan

Hak Kebebasan Bersuara Dan Hina Institusi Beraja: Teliti Perkara 10(4) Perlembagaan – Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab. Aziz

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

SHAH ALAM, 08 Jun 2021 – “Orang yang suka menghina institusi selalu mengatakan mereka mempunyai hak kebebasan bersuara berdasarkan Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan. Tetapi mereka tidak melihat kepada Perkara 10 (2), (3) dan (4) yang menyatakan: “Kebebasan tersebut ada sekatan sekiranya menjejaskan kepentingan, keselamatan dan ketenteraman awam”,” kata Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab. Aziz, Penyandang Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, UiTM.

Perkara 10 Fasal 4 menyatakan bahawa kita tidak boleh mempersoalkan antara lain tentang kedaulatan institusi beraja, Perkara 181, Perlembagaan Persekutuan.

“Kita tak boleh mempersoalkan kedaulatan Raja-Raja Melayu itu. Tetapi kita boleh mempersoalkan tentang pelaksanaan kuasa Raja-Raja. Ini adalah dua benda yang berbeza,” tegas beliau lagi dalam sesi bual bicara bertajuk ‘Hina Institusi Beraja: Salah Siapa’ minggu lepas.

“Kalau mempersoalkan tentang kewujudan institusi beraja, contoh soalan: Masih relevan lagikah institusi beraja? Pada saya ini tidak boleh sebab institusi beraja itu dianggap sentiasa relevan dalam kehidupan bernegara.”

“Tetapi jika soalan: Adakah Tuanku telah melaksanakan kuasa-kuasa Tuanku dengan cara tepat ataupun mengikut Perlembagaan? Itu kita boleh bertanya.”

Tambah pakar Perlembagaan ini, menurut pandangan beliau, menerima teguran itu adalah ‘hak’ istana, manakala menegur adalah tanggungjawab rakyat dan pembesar yang mendampingi raja atau istana.

Tetapi dalam konteks adat kita ini, tegur itu hendaklah beradab. Ada cara dan tatasusila.

“Adalah hak bagi institusi (beraja) itu bagi menerima teguran. Dan adalah tanggungjawab kita untuk mendidik diri menggunakan hak menegur dengan cara yang baik, bukan yang boleh mendatangkan kebencian kepada institusi beraja.”

Kebebasan bersuara tidak bermaksud kebebasan untuk menghina, mencerca ataupun mencaci. Kebebasan bersuara adalah kebebasan untuk bersuara dengan cara yang betul. Apabila ada elemen-elemen penghinaan, mencerca, mendatangkan kefahaman bahawa Raja itu tidak berbuat apa-apa, maka itu boleh mendatangkan rasa kebencian orang lain.

“Ini datangnya perkara Seksyen 3 dan 4 dalam Akta Hasutan. Jadi perkara yang boleh mendatangkan kebencian. Kalau dia bercakap sesuatu yang orang lain rasa boleh benci kepada institusi beraja, maka itu bukan lagi dalam skop kebebasan bersuara,” kata Prof Datuk Dr Shamrahayu mengakhiri kenyataan.

Siri #10 Bual Bicara Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu bertajuk ‘Hina Institusi Beraja: Salah Siapa’ adalah anjuran Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM) UiTM.

‘Hina Institusi Beraja: Salah Siapa’ disiarkan menerusi Facebook Live Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, pada hari Jumaat, 4 Jun 2021 di mana moderator pada hari tersebut ialah Saudara Muhammad Irsyad Syahmi bin Abdul Jamal, Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar, UiTM Cawangan Pulau Pinang 20/21.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: