Thailand Anjurkan Pesta Ganja Antarabangsa September Ini
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
THAILAND, 31 Julai 2022 – CISW Cann Festival Thailand 2022, Pesta Ganja Antarabangsa akan diadakan September ini dengan anjuran daripada Pattaya City, CISW Green World Co Ltd, dan Central Pattaya bagi mempromosikan bandar peranginan tepi laut tersebut sebagai hab pelancongan kesihatan.
CISW Cann Festival Thailand 2022 dijadualkan berlangsung pada 9 sehingga 11 September 2022 di pusat beli-belah Central Pattaya.
Pesta Ganja Antarabangsa tersebut akan mengetengahkan produk-produk yang diperbuat daripada ganja dan hemp oleh Ekspo Ganja dan Hemp, termasuk makanan, minuman dan kosmetik.
Dalam pada itu, Ekspo Ganja dan Hemp juga akan membuat padanan perniagaan yang bertujuan menarik pelabur Thailand dan asing untuk melabur dalam perniagaan berkaitan dengan ganja serta hemp.
CISW Cann Festival Thailand 2022 juga akan mengadakan pertandingan ratu cantik ‘Miss Cannabis Thailand’ dengan menawarkan hadiah lebih 200,000 baht (RM24,200) kepada para peserta yang memenangi pertandingan tersebut.
Sebelum ini, Samudera.my melaporkan mengenai kenyataan Menteri Kesihatan Thailand, Anutin Charnvirakul yang telah membenarkan setiap satu keluarga untuk menanam sehingga enam pokok ganja bagi menjana pendapatan tambahan.
Semenjak melonggarkan larangan terhadap dadah jenis ganja pada tahun 2018, Thailand mencatatkan nilai pasaran ‘medical marijuana’ sehingga USD 26.3 juta pada tahun 2020 menurut sebuah laporan.