TH Umum Agihan Keuntungan Bagi Tahun 2021
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 27 Februari 2022 – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.10 peratus selepas zakat, bagi tahun kewangan 2021 melibatkan nilai RM2.46 bilion yang akan dimanfaatkan kira-kira 8.4 juta pendeposit TH.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, agihan keuntungan itu dengan jumlah keuntungan diagih RM219 juta lebih tinggi berbanding RM2.24 bilion bagi tahun kewangan 2020.
Menurutnya, pulangan itu juga telah mengambil kira zakat yang akan dilunaskan bagi pihak pendeposit sebanyak RM107 juta. Pendeposit TH tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan serta agihan keuntungan yang diterima.
Agihan keuntungan itu adalah kompetitif, mengambil kira faktor kadarnya lebih tinggi daripada purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan iaitu 2.36 peratus. Kadar tersebut telah mengambil kira peruntukan zakat sebanyak RM107 juta yang akan dilunaskan kepada semua Majlis Agama Islam Negeri bagi pihak pendeposit.
“Kadar pulangan tahun 2021 adalah berpatutan setelah mengambil kira keadaan persekitaran perniagaan dan pasaran sukuk dan saham yang mencabar pada tahun lepas.”
“Alhamdulillah pulangan ini juga telah mengambil kira zakat yang dilunaskan bagi pihak pendeposit. Insya-Allah, selain mendapat keberkatan membantu rakyat Malaysia menunaikan ibadat haji, pendeposit juga beroleh barakah melalui program zakat yang diatur TH. Pada tahun 2021, lebih 200,000 asnaf telah menerima pelbagai bantuan dan manfaat secara terus dari program zakat wakalah diurus TH,” katanya pada Majlis Pengumuman Agihan Keuntungan TH Tahun 2021 di Menara Tabung Haji di sini pada Khamis.
Hadir sama, Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin.
Urusniaga TH akan ditangguhkan sementara waktu bermula pukul 8 malam, Jumaat, 25 Feb 2022 sehingga pukul 12 tengah hari, Sabtu, 26 Feb 2022, bagi melancarkan urusan agihan keuntungan.
Para pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula pukul 12 tengah hari, Ahad, 27 Feb 2022 menerusi aplikasi THiJARI, kaunter TH, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat dan saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.