Tempatan

Terperangkap Atas Batuan Ombak, 5 Pemancing Diselamatkan ‘Rescue Swimmer’

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA TERENGGANU, 19 Ogos 2022 – Lima pemancing yang terkandas selama 15 jam di Pulau Batu Berantai dengan kedudukan jarak 1.4 batu nautika Barat Laut Pantai Remis, Jeram, Selangor telah berjaya diselamatkan ‘rescue swimmer’ Maritim Malaysia dengan membawa mereka naik ke atas pesawat menggunakan teknik ‘winching’ di mana mereka memindahkan mangsa menggunakan tali.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melalui Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) telah menyelamatkan lima pemancing tersebut ketika mereka dalam perjalanan ke perairan Kapar, Klang bagi menjalani rutin latihan penerbangan termasuk latihan ‘winching’ semalam.

Keputusan pantas bagi menyelamatkan lima mangsa tersebut dibuat oleh Komander Pesawat AW139, Leftenan Komander Maritim Mohamad Azrol bin Saidi sebaik sahaja menyedari lambaian meminta tolong, serta menyaksikan keadaan laut bergelora di kawasan itu yang boleh merisikokan nyawa pemancing sekiranya mereka hanyut kerana tidak memakai jaket keselamatan.

“Setelah dipindahkan ke pesawat, kesemua pemancing segera diterbangkan ke SUMS untuk mendapatkan rawatan kerana mangsa dalam keadaan lemah dan masih trauma.”

“Sejurus kesemua mangsa tiba di SUMS, mereka diberikan rawatan awal oleh pengamal perubatan sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh, Hospital Shah Alam dan Hospital Klang dengan menaiki lima ambulans,” lapor APMM dalam kenyataan yang dikeluarkan di laman rasmi Facebooknya.

“Identiti kelima-lima mangsa ialah Mohd Yazid bin Basir, 37; Zamri bin Romli, 39; Mohd Razwan bin Hussin, 48; ketiga-tiganya berasal dari Tanjung Karang. Manakala, dua lagi adalah Hamidi bin Rohani, 70; dan Tohid bin Sangon, 65, dari Jeram, Selangor.”

Menurut salah seorang mangsa, Mohd Razwan bin Hussin, mereka bertiga yang berasal dari Tanjung Karang dihantar menaiki sebuah bot ke Pulau Batu Berantai pada jam 7.20 petang 17 Ogos 2022 dan sepatutnya pulang pada pagi 18 Ogos 2022. Namun sekitar jam 8.30 pagi, bot itu tiba dan menurunkan dua lagi pemancing dari Jeram di lokasi kejadian kerana pengendali bot mempunyai urusan lain di Pulau Angsa.

Setelah itu, bot itu akhirnya tidak muncul dan dipercayai terkandas akibat cuaca buruk sebelum mereka melihat pesawat helikopter Maritim Malaysia berlegar di kawasan perairan tersebut lalu mereka melambaikan tangan meminta pertolongan kerana bimbang keadaan laut yang semakin membahayakan.

Tambah beliau, mereka tidak dapat menghubungi sesiapa bagi meminta pertolongan kerana barangan peribadi seperti telefon bimbit dan peralatan seperti jaket keselamatan dan perkakas memancing telah dihanyutkan ombak dan arus laut.

Berikutan kejadia ini, pihak Maritim Malaysia dalam kenyataan sama menasihatkan agar pemancing yang ingin ke laut perlu melakukan persiapan sewajarnya selain mengambil langkah berwaspada dan merancang lebih awal sebarang aktiviti yang hendak dilakukan selain mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku ini supaya tragedi sama tidak berulang lagi.

“Komuniti pemancing juga diingatkan agar segera menghubungi talian kecemasan MERS 999 dan memiliki peranti kecemasan peribadi ‘Personal Locator Beacon’ (PLB) yang memudahkan kedudukan mereka dikesan pasukan penguat kuasa dan CARILAMAT sekiranya berlaku kecemasan.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: