Tempatan

TERKINI: Polis Buru Lelaki Vellfire Putih Culik Ahli Perniagaan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 30 September 2022 – Polis Daerah Ampang Jaya sedang mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian melarikan dan mencederakan seorang ahli perniagaan dari sebuah restoran di Ampang pada 29 September 2022.

“Bilik Kawalan IPD Ampang Jaya telah menerima panggilan MERS999 satu kejadian melarikan orang dan dibawa masuk ke dalam sebuah kereta jenis Vellfire warna putih,” kata Mohamad Farouk Bin Eshak, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya.

Kejadian berlaku sewaktu mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun itu sedang makan seorang diri.

“Semasa di dalam restoran berkenaan, telah datang sekumpulan suspek dipercayai lelaki tempatan telah menarik dan memaksa mangsa masuk ke dalam kereta Vellfire putih, mangsa menjerit meminta tolong dan cuba untuk melepaskan diri namun tidak berjaya. Mangsa telah dilarikan menaiki kereta Vellfire dari tempat kejadian.”

Walau bagaimanapun, mangsa telah dilepaskan pada hari yang sama dalam keadaan cedera di bahagian kaki dan muka.

Menurut Mohamad Farouk, kejadian dipercayai berpunca akibat masalah hutang dengan majikan.

Berikutan itu, usaha mengesan suspek yang telah dikenal pasti sedang giat dijalankan.

Dalam kenyataan sama, turut disertakan hukuman dan kesalahan menculik atau melarikan orang dengan niat menyebabkan orang itu dikurung.

“Seksyen 365 Kanun – Barang siapa menculik atau melarikan mana-mana orang dengan niat hendak menyebabkan orang itu dikurung dengan sulit dan dengan salah, hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: