Tempatan

TERKINI! Mahkamah Tinggi KL Bebaskan Najib & Arul Kanda Dari Tuduhan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 03 Mac 2023 – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy daripada pertuduhan mengubah laporan akhir audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie dalam kes berkenaan, lapor sebuah portal berita tempatan.

Mengikut pertuduhan pindaan, Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu didakwa telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada dikenakan sebarang tindakan sivil atau jenayah berkaitan peranannya di dalam perjalanan operasi syarikat 1MDB.

BACA JUGA: Operasi Aerotrain KLIA Dihentikan Serta Merta

BACA JUGA: Kerajaan Cadang Hapuskan Petrol Diesel Bersubsidi Di Kelantan

BACA JUGA: Kekang Pelajar, PM Digesa Mansuh AUKU

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa telah mengarahkan Laporan Pengauditan 1MDB yang telah dimuktamadkan oleh Ketua Audit Negara dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan semula dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), yang mana Najib secara langsung mempunyai kepentingan.

Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam meminda laporan berkenaan bagi melindungi bekas Presiden UMNO itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Najib dan Arul Kanda didakwa buat kali pertama di Mahkamah Sesyen di sini pada 12 Disember 2018. Pada 14 Mac 2019, kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini untuk dibicarakan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Dalam sidang sebentar tadi, mahkamah turut memutuskan bahawa Arul Kanda layak mendapat sijil indemniti yang menghalangnya daripada dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

Sebelum ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram tetapi bekas Hakim Mahkamah Persekutuan berusia 79 tahun itu meninggal dunia pada 29 Januari lalu.

Ia diteruskan oleh pasukan pendakwaan sedia ada antaranya Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.

Pihak pembelaan pula diwakili oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi pihak Najib, sementara Arul Kanda diwakili oleh Datuk N Sivananthan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: