Terkait Dengan LGBTQ, KDN Rampas Jam Tangan “Koleksi Pride” Di Beberapa Cawangan Swatch
KUALA LUMPUR, 23 Mei 2023 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerbu dan melakukan rampasan barangan “Koleksi Pride” di beberapa cawangan jam tangan jenama Swatch kerana menjual koleksi jam tangan dengan tema warna pelangi yang dikaitkan dengan komuniti LGBTQIA+.
Menurut laporan The Edge, pihak KDN menyita barangan koleksi tersebut dari cawangan Swatch di Pavilion Kuala Lumpur, One Utama, Sunway Pyramid, Setia City Mall, Mid Valley Megamall, Southkey, Sunway Putra Mall, SOGO KL, Queensbay, Fahrenheit 88 dan Suria Sabah pada 13 dan 14 Mei lalu.
Cawangan di KTCC (Terengganu), Aeon Kota Bharu, Aman Central Kedah, City Square dan Viva City Kuching turut diberikan notis amaran.
BACA JUGA: Selepas 56 Tahun, Bekas Tentera Zionis Pulang Kunci Pintu Masjidil Aqsa
BACA JUGA: Isu Tarik Balik Rayuan Kalimah Allah Dibentang Hari Ini
BACA JUGA: Jalan Sesak: Kuala Lumpur Rekod 6 Juta Kenderaan Setiap Hari
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Swatch, Nick Hayek Jr berkata, jenama tersebut secara konsisten menghasilkan jam tangan berwarna-warni untuk mewakili kepelbagaian dan meraikan orang dari pelbagai lapisan masyarakat.
“Swatch berbangga kerana menjadi kanvas pada tangan pemakai jam jenama kami yang merangkumi pelbagai jenis manusia di serata dunia dan seniman yang bekerjasama dengan kami.
Jenama ini diminati kerana kreativiti dan gabungan warna yang disertai dengan kualiti buatan Switzerland. Kami dengan tegas membantah bahawa koleksi jam tangan kami menggunakan warna-warna pelangi dan mempunyai mesej damai dan cinta yang boleh memudaratkan sesiapa.
Sebaliknya, Swatch sentiasa mempromosikan mesej positif tentang kegembiraan dalam kehidupan. Ini bukanlah perkara politik. Kami tertanya ingin tahu bagaimana Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN akan merampas kebanyakan warna pelangi yang muncul ribuan kali di langit Malaysia,” katanya.
Memetik kepada sebuah berita tempatan, Kumpulan Swatch sedang memohon agar jam-jam yang dirampas untuk dipulangkan semula.