Tempatan

Terjemahan Mandarin Bulan Kebangsaan, Satu Penghinaan Buat Negara

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 01 Ogos 2022 – Tindakan penganjur program Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 yang meminta supaya Bahasa Mandarin diselitkan dalam ucapan pengemudi majlis mengundang kritikan masyarakat.

“Satu penghinaan buat negara! Penganjur patut rasa malu! Perlukah nak diterjemah pula dalam Bahasa Mandarin? Lebih sudu dari kuah pula! Apa sudah jadi?” berikut merupakan ulasan Hazwan Mohamad Awi, Ketua Penerangan BERJASA Malaysia.

Dr Ahmad Sanusi Azmi juga mempersoalkan tindakan penganjur tersebut.

“Dalam pelancaran Bulan Kebangsaan, pengacara akan cuba menterjemah konsep Keluarga Malaysia dalam Bahasa Mandarin. Timbul persoalan di sini, mengapa pelancaran Bulan Kebangsaan memerlukan terjemahan Bahasa Mandarin?” ujar Profesor Madya Fakulti Pengajian Quran Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia tersebut.

Persoalan yang sama turut dibangkitkan oleh Profesor Dr Zainur Rashid Zainuddin, Profesor di International Medical Unversity, di mana beliau menyatakan:

“Kenapa perlu guna Bahasa Mandarin untuk majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan?” soalnya.

Beliau turut menyuarakan bantahan terhadap hal yang dianggapnya sebagai sebuah penghinaan tersebut.

“Saya membantah kerana ia adalah satu penghinaan buat negara!” tegas beliau.

Sentimen yang sama turut disuarakan oleh Profesor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar, di mana beliau menegaskan:

“Saya rasa sangat bermasalah dan sangat tidak kena laporan ini.”

“Untuk siapa pengacara berbahasa Mandarin? Kalau untuk media antarabangsa, kenapa Mandarin sahaja? Kalau untuk masyarakat majmuk Malaysia juga, kenapa Mandarin sahaja? Kenalah ada berpuluh-puluh pengacara yang menguasai bahasa semua kaum dan etnik di Malaysia,” tegasnya.

Menurut Dr Rafidah Hanim lagi, Akta Bahasa Kebangsaan 1967 diciptakan sebagai medium penyatuan rakyat di mana satu bahasa sepatutnya digunakan oleh semua rakyat Malaysia.

“Kita sudah 65 tahun merdeka.”

“Bukankah Bulan Kebangsaan ini sepatutnya mengingatkan kita semua rakyat Malaysia agar fasih dalam bahasa kebangsaan kita?” soal beliau.

“Keseluruhan tajuk atau kaedah pengacaraan sebenarnya telah pun mencacatkan objektif Bulan Kebangsaan kita,” tambah beliau tegas.

Baru-baru ini, sebuah portal tempatan telah menerbitkan sebuah penulisan yang menyatakan bahawa Bahasa Mandarin mungkin akan ‘diselitkan’ dalam majlis Pelancaraan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022.

Leave a Reply

Back to top button