Terima Kasih PEMBELA, Teruskan Perjuangan, Fasa Baru Perjuangan Saya Bermula – Hj Aminuddin Yahaya
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
Seperti yang anda sedia maklum melalui pengumuman Setiausaha Agung PEMBELA pagi semalam, saya telah melepaskan jawatan saya selaku Pengerusi PEMBELA dan syura sekretariat PEMBELA pusat telah menerimanya dengan hati yang terbuka.
Terima kasih kepada sahabat-sahabat dalam Sekretariat PEMBELA Pusat atas segala sokongan jitu, kepercayaan sepenuh hati serta amanah yang diberikan untuk menakhodai wadah membela agama, bangsa dan tanah air ini.
Selepas ini saya bakal meneruskan fasa perjuangan saya dalam peringkat dan wadah yang baharu. Insya Allah, saya akan umumkan tidak lama lagi.
Walau bagaimanapun, saya tetap akan bersama PEMBELA selaku ahli gabungan biasa dan terus memberikan sokongan saya yang tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan PEMBELA kerana perjuangan kita adalah sama, cuma berbeza wadah dan peranan.
Saya teringat lagi saat bagaimana PEMBELA ditubuhkan pada tahun 2006, di mana NGO-NGO Islam bersatu dan berikrar dalam agenda mempertahankan akidah umat Islam yang mana ketika itu sedang rancak kes-kes murtad dan pelbagai ‘strategic litigation’ di mahkamah oleh puak-puak liberal, gereja dan sekutunya.
PEMBELA ketika (2006) itu dan sehingga ini merupakan sebuah koalisi longgar di mana pimpinan-pimpinan setiap NGO gabungan akan berkorban dan memberikan komitmen untuk sama-sama menggerakkan agenda membela agama, bangsa dan tanah air di samping kesibukan menguruskan NGO masing-masing. Inilah cabaran di sebalik keunikan organisasi PEMBELA.
Untuk pengetahuan semua, saya merupakan Pengerusi PEMBELA yang ketiga selain Dr Yusri Mohammad dan Ustaz Hafiz. Maka, kebetulan juga untuk saya fikir inilah juga masanya untuk memberikan peluang kepada pelapis dan NGO Islam lain untuk mengemudi PEMBELA ini, sebagaimana mantan-mantan pengerusi sebelum ini.
Sepanjang saya memegang jawatan ini, pelbagai langkah transformasi organisasi yang saya telah jalankan, antaranya (dan banyak lagi):
1. Mewujudkan struktur jawatankuasa sekretariat di peringkat pusat dengan porfolio serta tugas masing-masing.
2. Mewujud dan menggerakkan PEMBELA di peringkat Negeri dengan partisipasi NGO-NGO lokal di setiap negeri agar idea dan agenda membela agama, bangsa dan tanah air lebih berakar umbi dalam masyarakat.
3. Mengasaskan Yayasan Pembela Muslim bagi tujuan memperkasakan sistem kewangan dan pendapatan PEMBELA. Aspirasinya ialah, kita dapat memperkasakan NGO-NGOcahli melalui kekuatan kewangan selain menggerakkan kerja-kerja sosial membantu masyarakat dan membangunkan NGO-NGO belia selaku pelapis masa hadapan.
… Dan banyak lagi.
Selain itu, kita telah menggerakkan pelbagai inisiatif selaku teras perjuangan membela agama, bangsa dan tanah air seperti (dan banyak lagi):
1. [AGAMA] Memartabat kedudukan Islam di Malaysia.
i. Memperkasa Perundangan Syariah (konvensyen, persidangan, meja bulat, ‘blueprint’ bersama pemegang taruh berkaitan)
ii. Kerjasama dengan pasukan peguam dalam kes-kes mahkamah seperti murtad, cabar undang-undang Syariah, hina Islam, dsb).
iii. Berfungsi sebagai strategik penting institusi-institusi Islam seperti JAKIM, YADIM dan majlis-majlis agama Islam Negeri.
iv. Menganjurkan konvensyen-konvensyen yang mengumpulkan para ulama, ahli akademik bidang agama dan tok-tok guru pondok untuk bermusyawarah bagi menghadapi isu-isu semasa agama terutamanya kes mahkamah (murtad, dsb).
v. Menggerakkan Kempen Buy Muslim First (BMF) di peringkat nasional secara strategik bersama pelbagai pihak.
2. [BANGSA] Menjamin kedudukan Melayu-Islam sebagai teras peradaban dan identiti.
i. Menganjurkan Himpunan Ummah Bantah ICERD 812 (saya selaku Pengerusi Penganjur).
ii. Hari Peradaban Bangsa Melayu yang menggabungkan peranan ulama, pakar bidang, aktivis Islam, perguruan persilatan dan persatuan budaya dalam sebuah gerakan tahunan.
iii. Membentang syor-syor kepada Kerajaan untuk pelbagai agenda Bumiputera dan Melayu ke dalam polisi kerajaan.
iv. Menghidupkan siri-siri perjuangan dan gerakan menebus Tanah Rizab Melayu melalui pelbagai ceramah, konvensyen, himpunan, rapat umum dan kempen-kempen lokal.
3. [TANAH AIR] Membentuk Identiti Malaysia mengikut semangat Perlembagaan Persekutuan.
i. Mencabar keabsahan Sekolah Vernakular di mahkamah sebagai salah satu usaha ke arah sekolah satu aliran.
ii. Menggerakkan arus membongkar kes-kes penyelewengan tanah seperti Kes Musang King di Pahang.
iii. Menganjurkan siri Konvensyen Tanah yang mengumpulkan pelbagai pakar bidang mengenai pemilikan tanah untuk membentuk tindakan-tindakan strategik susulan bersama NGO-NGO dalam pelbagai kes.
iv. Mendokong arus memartabatkan Bahasa Kebangsaan dan tulisan Jawi melalui pelbagai inisiatif dan program seperti ceramah dan konvensyen.
Dan banyak lagi yang saya tidak dapat saya muatkan dalam tulisan ini.
Tetapi inilah mesej saya, iaitu sehingga kini PEMBELA telah berjaya meletakkan dirinya ke satu tahap yang cemerlang dan disegani dalam segenap aspek terutamanya dalam agenda yang berkaitan agama, bangsa dan tanah air (ABATA).
Saya yakin, kejayaan yang telah kita kecapi bersama selama ini akan diteruskan dan malah lebih melonjak lagi dengan kepimpinan baharu nanti.
Akhir sekali, saya mendoakan agar PEMBELA terus menjadi sebuah badan pendesak yang efektif, berintegriti, tidak terikat dan berprinsip untuk agenda-agenda membela agama, bangsa dan tanah air. Ameen.
Aminuddin Yahaya
Mantan Pengerusi PEMBELA Ke-3