Terima Kasih Kerajaan Kerana Naikkan Cukai Arak – Persatuan Hindu Pulau Pinang
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
PULAU PINANG, 05 NOVEMBER 2021 – “Kerajaan disarankan menubuhkan pusat pemulihan untuk penagih alkohol selain dapat menjimatkan kos ubat-ubatan untuk rawatan mereka dan pada masa yang sama jurang kemiskinan juga dapat dibasmi dengan baik,” ujar Presiden Persatuan Hindu Pulau Pinang, P. Murugiah.
Murugiah turut berterima kasih kepada kerajaan kerana meningkatkan cukai ke atas arak seperti yang diumumkan dalam pengumuman Bajet 2022 baru-baru ini.
Menurut beliau, larangan kerajaan untuk peminum arak ini adalah suatu tindakan yang disambut baik oleh kaum India kerana ianya akan mengurangkan gejala sosial selain mewujudkan kehidupan yang lebih sihat pada masa hadapan.
Beliau berpandangan dan percaya larangan itu sangat perlu dikenakan di seluruh negara.
Jelasnya, ramai keluarga yang terkesan akibat suami atau anak lelaki mempunyai tabiat buruk meminum minuman beralkohol ini.
“Suami akan mengabaikan isterinya, dan sekiranya anak-anak beralkohol, mereka mengabaikan ibu bapa mereka. Ada yang akhirnya kehilangan kerja kerana terlebih minum dan mengganggu ibu bapa mereka untuk mendapatkan wang secara mudah,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, NGO yang diketuainya telah membantu ramai anak-anak untuk bersekolah kerana pihak suami membelanjakan semua wangnya untuk arak.
Oleh yang demikian, kawalan ke atas minuman keras terutamanya jenis arak yang murah akan dapat melindungi ahli keluarga daripada terus diabaikan.
“Tambahan sekarang, apabila menyambut perayaan Deepavali misalnya, sudah pasti ramai kaum India akan minum arak sehingga mabuk bersama rakan-rakan mereka di rumah atau di pusat-pusat hiburan tertentu. Apabila mereka mabuk maka mereka sudah tidak sedarkan diri dan tidak tahu apa yang mereka buat.”
Oleh sebab inilah beliau berharap agar kerajaan melakukan sesuatu untuk kedai arak dan kepada mereka yang gemar meminum arak kerana sekarang ramai yang menjadi miskin sehingga merosakkan institusi kekeluargaan.
Beliau berkata, apabila suami seorang peminum arak, dia akan malas untuk pergi kerja sehingga ada yang sampai dibuang kerja akibat daripada tabiat buruk meminum arak ini.
“Kalau yang berkerja pula apabila terima gaji sahaja mereka akan membeli arak tanpa memikirkan keperluan keluarga termasuk peruntukan untuk pelajaran anak, hal barang keperluan dapur, termasuk sewa rumah dan bil-bil utiliti juga tidak dapat dibayar kerana dihabiskan untuk arak semata-mata.”
“Yang menjadi tempat mengadu ialah NGO macam kami yang terpaksa pula menangung kos keperluan dapur keluarga-keluarga yang suami mereka kaki minum arak ini,” ujarnya.