Tempatan

Tergamak Bakar Al-Quran Di Taman Tasik Johor

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

JOHOR BAHRU, 21 Oktober 2021 – Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi mengesahkan pihaknya sedang menyiasat kejadian senaskah al-Quran yang dibakar di kawasan riadah Tasik Taman Sri Impian.

Dalam kejadian 7.45 pagi semalam,
Syarifuddin Kasimin, 41, bersama isterinya sedang berjoging melalui kawasan riadah berkenaan sebelum ternampak kepulan asap seperti sampah terbakar.

“Kami keluar berjoging dalam pukul 7 pagi dan melalui kawasan riadah Tasik Taman Sri Impian untuk berehat seketika tetapi saya ternampak ada kepulan asap seperti sampah terbakar.”

“Saya dan isteri menghampiri objek itu dan buat pemeriksaan mendapati benda yang terbakar itu adalah senaskah al-Quran yang dibakar oleh individu tidak bertanggungjawab.”

“Kami terkejut dan kesal dengan tindakan mereka yang dilihat seolah-olah mempersendakan agama, kami tidak mahu tuduh siapa yang buat, takut nanti lain pula jadinya kalau bab-bab agama ini.”

Beliau serta beberapa orang awam lain kemudiannya mengutip cebisan al-Quran itu dan mengumpulkannya dalam satu plastik sebelum dibawa ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan berhubung kejadian itu.

Susulan perkara ini, penduduk sekitar berharap pihak berkuasa khususnya Jabatan Agama Islam tampil melakukan siasatan berhubung kejadian ini bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku.

Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor telah mengarahkan Pejabat Kadi Daerah untuk mengambil tindakan selanjutnya.

Leave a Reply

Back to top button