Terengganu Kurang Bekalan Ikan, Dijangka Berlarutan Hingga Februari
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA BESUT, 05 Disember 2022 – Terengganu dijangka mengalami situasi kekurangan bekalan ikan yang berlarutan hingga Februari tahun depan akibat musim tengkujuh yang melanda ketika ini.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Besut, Tengku Harun Tengku Ismail berkata, pendaratan ikan daripada kebanyakan nelayan tempatan negeri itu merosot kira-kira 50 peratus kerana mereka tidak dapat keluar menangkap ikan akibat cuaca yang tidak menentu.
“Kekurangan jumlah tangkapan ikan itu menyebabkan berlaku kekurangan bekalan di pasaran dan harga ikan dijual lebih mahal antara 30 hingga 50 peratus.”
Ujarnya, kebanyakan ikan yang terdapat di pasaran sekarang adalah hasil tangkapan nelayan bot pukat tunda, bubu dan pancing serta bekalan ikan sejuk beku dari Kuantan, Pahang dan Endau, Johor.
Menurutnya, ikan sejuk beku dijual dengan harga lebih murah dan dikawal oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Kebanyakan ikan tersebut adalah ikan rakyat seperti ikan kembung, selayang, cencaru dan tongkol.
Dalam pada itu, Rahman Abdul Salleh, 45, peniaga di Kuala Terengganu berkata, harga ikan selayang dijual sehingga RM15 sekilogram berbanding hanya RM8 ke RM10 sekilogram sebelum ini.
Bukan itu sahaja, harga ikan kembung turut naik kepada RM28 sekilogram berbanding RM20 ke RM 22 sebelum ini.
“Sotong pula dijual pada harga RM45 sekilogram, ikan tenggiri RM42 sekilogram, ikan merah RM45 sekilogram, kerisi RM16 sekilogram, ikan cencaru RM15 sekilogram, ikan bawal RM34 sekilogram dan udang harimau antara RM34 dan RM50 sekilogram.”